Friday, July 8, 2011

IKLAN

Cuba untuk menulis dan dibukukan, maaf blog ini semakin terabai. Projek bersama kawan-kawan, melalui Jargon Books. Sudah dua buku puisi diterbitkan, iaitu Pinggir Malam Yang Mati dan Perempuan Yang Patah Hati. Ada juga zine Kata-Kata yang dirancang untuk diterbitkan setiap bulan.


Tuesday, April 12, 2011

antara kita

malam seperti kebiasaan bisa sahaja menjanjikan ragam perkara. Bintang-bintang tergantung di langit menjadi lampu Tuhan yang sering diabaikan. Hanya secalit awan yang menyelubungi bulan mengambang yang kuningnya meremang dada. Angin tidak seperti selalu, seruling Tuhan yang mengerakkan bulu halus di pasak bumi tidak kedengaran. Kesepian malam hari bak air yang jatuh ke batuan; perlahan dan setitik demi setitik berlekuk kesannya.

ada teman pesan, kehibaan dan kesedihan merangsang fikiran. dalam kelukaan jiwa yang kosong terasing, ada abjad-abjad yang Tuhan lemparkan jauh ke dalam dasar dada. Iya, kadang suara hanya tersekat di lidah dan mati dalam bual. Suara dan kata-kata boleh jadi perempuan jalang yang datang dan pergi sesuka hati.

aku lihat dia bertenggek di jendela, berbual-bual dengan bayangan silam. aku rangkul ke riba, tersenyum kepada bayangan silam yang dalam kelam malam muncul tanpa salam.

dia bukan perempuan yang kau cari. dia dalam ribaanku mukanya berubah muram. tangan kecilnya menggengam erat lenganku. mencari kekuatan dalam daging dan darah yang nyata. aku pandang bayangan silam yang masih berdiri di tepi jendela, ada marah yang menunjal dalam matanya. pelukan anak kecil itu aku kemaskan, mengusap-ngusap belakangnya.

mimpi dan angau yang kita cari dalam celah-celah lipatan silam jadi halusinisasi yang mengorbankan diri. dan setiap malam aku dambakan bayangan itu tetap datang, merasuk setiap urat darah kenangan. membiarkan semuanya bergerak dalam kepala sendiri dan tersenyum bila akal menjadi Tuhan.

Wednesday, March 30, 2011

antara


maghrib tiba tanpa awan mendung. langit merah di hujung - hujung sana. aku lihat dia tegak di situ di hurung kelkatu. dari atas jatuh ke lantai jalan, membentuk bayang samar. malam ini tidak seperti biasa. atau cuma, aku tidak pernah merenung pada tika yang sebelum - sebelum ini.

saat angin dari timur mula meramahi daun-daun pokok yang lama pegun, aku lihat dia menderita menahan tangis. lepaskan sahaja, aku sebut perlahan sambil genggam palang besi. bersandar padanya bukan idea yang okay, hujan lebat baru sahaja reda meninggalkan titis - titis air yang membulat, tunggu masa renggang dan pecah. seekor anjing jalan menunduk dan hilang ditelan semak. 5 minit yang lalu seorang lelaki cina merayau memegang tali.

dia diam.

begitu banyak perkara yang terkumpul di hujung lidah. ada waktu - waktu yang aku rasa semua perkataan yang mahu diucap berebut mahu diluah seolah kiamat akan tiba dan jibril hanya beri izin untuk satu sahaja di kalangan yang banyak - banyak itu. ada masa, kosong. 

aku tidak mahu percaya yang bual antara kita sudah mati. seperti perginya hari - hari semalam yang mustahil hidup kembali meski digadai nyawa pada tuhan. aku lihat dia di situ setiap kali petang sudahpun lewat dan burung - burung dari kota memburu tempat bertenggek. aku tidak pernah pinta untuk dia hadir dalam waktu - waktu yang selain daripada sela masa yang digemarinya. apa lagi?

apakah kesetiaan yang sebegini tulus juga gagal mendapat tempat di jiwanya. aku tanya itu pada bapak. dan seperti biasa bapak rangkul aku ke ribaannya, memandang ke luar jendela. dia bukan perempuan yang kau cari. bapak bisik dan aku hilang ke dunia mimpi sebelum tiba ke perkataan kedua. moga esok bangkit dan kekal dengan kepercayaan yang masih sama.

dia adalah perempuan yang aku mahu percaya. 
malah dia juga bukanlah manusia yang memungkinkan kau gelarkannya sebagai perempuan. antara cebis ayat setiap kali bapak tuturkan, setiap kali itulah aku sudah tutup mata.

dan esok aku dicelikkan untuk menunggu matahari dighaibkan alam. duduk mendongak ke arah cahaya yang berada di atas tiang tegak. menyeru dengan kata --sayangku halusinasi.

Tuesday, March 22, 2011

Orgel II

Lohong dalam dada, seketul daging sudah dicabut keluar. Darahnya masih menitis di dada, melekat di baju melekit peluh. Aku berjalan terhuyung hayang, menekan dada. Mengingat-ngingat semuanya akan jadi sempurna. Payung jatuh ke jalan, kaki jadi longlai di pasak bumi.

Orang yang lalu lalang menjeling tajam, aku buat-buat tidak peduli. Melihat ke belakang ke arah rumah pintu biru. Aku baru keluar tadi, memilih untuk jadi manusia tiada hati hurufiahnya. Perasaan ini tidak boleh lagi wujud, kerana diamnya di hati. Manusia tanpa hati tidak boleh ada diri.

Aku menyedut nafas dalam-dalam. Langit mendung, hujan turun rintik. Angin hujan sejuk dingin. Burung-burung kicau di langit, terbang tanpa hala tuju. Jalan semakin sesak dengan manusia yang makin ramai lalu lalang. Mata bergenang, tangan mengeletar, perut berbunyi, otak berfikir.

Kembali mengetuk pintu yang baru sekejap tadi aku keluar.Dia membuka pintu, riak mukanya tidak berubah melihat aku tercegat di depan.