Malik mencicip biskut kering yang lembik setelah dicelup ke dalam kopi pekat. Dia bersila di depan tilivision melihat cerekarama melayu. Sesekali dia tersenyum simpul sebelum ketawa terbahak-bahak mendengar skrip tidak cukup masak dan lakonan yang langsung tidak berkesan. Dia mengusap perut yang berbunyi-kriuk kriuk kriuk- tanda kelaparan tidak dipuaskan walaupun sudah lima keping biskut kering cap ping pong ditelannya. Dia membaringkan diri ke lantai, melihat bilah-bilah kipas yang berpusing menghalau hangat malam yang semakin membara.
Tangan kanannya mencapai fail hijau yang menyimpan sijil-sijil dan ijazah. Membelek-beleh kertas-kertas itu, setiap sijil kegiatan luar ada kenangan sendiri. Transkrip ijazah yang tertera CGPA 3.56 dilihatnya berulang kali. Nombor tidak menjanjikan apa-apa pun. Sudah jenuh dia mencari kerja yang setaraf dengan kelulusannya, gaji lumayan untuk hidup di kota besar. Masih tidak bertemu, berkali-kali ditolak. Berkira-kira juga mahu sahaja memohon kerja di Tesco atau Mydin, sekadar cukup duit untuk bayar sewa dan makan pakai. Tidak mahu lagi dia meminta duit di kampung, malu besar.
Malik mengeluh besar, tadi petang dia terserempak dengan Ali, teman sekolah menengahnya. Bercakap-cakap, membulat matanya bila nampak jam tangan Rolex terletak kemas di pergelangan tangan Ali, cepat-cepat disoroknya handphone cikainya bila Ali keluarkan Blackberry. Dia pelik, Ali masuk universiti pun tidak, manalah dia dapat duit untuk bergaya. Bila habis bercakap-cakap, dan Malik meminta diri, tidak mahu terasa terhina dengan kekayaan Ali. Ali bagi kad, 'call aku, kau pun boleh jadi senang'. Diselitnya kad itu di dalam poketnya, dan dari jauh dia melihat Ali menuju ke BWM 5 series yang diparkir di depan kompleks beli belah itu. Malik menelan air liur.
Dikenang-kenang balik, Malik merasa malu sendiri. Tiga tahun di universiti, dua tahun di matrikulasi, dia masih tidak punya apa-apa. Dulu, dia percaya ijazah boleh buat dia pergi jauh, boleh buat dia senang.
Malik mahu saja mengoyak ijazah ditangannya. Khianat!
Dia mengiring badanya ke kiri, mengadap pintu kaca yang tembus ke luar. Malam makin pekat. Dia makin pekat.
Malik fikir dia produk gagal dunia, pendidikan jadikan dia produk untuk berkhidmat kepada sistem ekonomi kapitalist, tetapi dia tidak cukup pakej untuk masuk ke dalam sistem. Pendidikan tidak beri dia ilmu hidup, kerana segala formula dan jargon-jargon tidak menjadikan dia manusia yang lebih baik. Setelah berbelas tahun dalam sistem, Malik sendiri tidak pasti bentuk hidupnya. Bukankah ini khianat? fikirnya dalam-dalam.
Kopi pekat makin sejuk, biskut kering sudah lemau.
Apabila kamu menulis tentang Malik, aku rasa kamu menulis tentang aku dan mungkin tentang kamu atau mereka yang lain juga.
ReplyDeleteKerana bertahun-tahun dahulu aku pernah mengambil mancis dan mahu membakar sijil SPM setelah gagal temuduga berkali-kali.
Tapi adikku berkata"Bukan sijil-sijil ini yang memberikan kau rezeki kak!"
Sampai sekarang aku kelihatan 'hina' kerana idak berkerja seperti yang mereka tafsirkan sebagai kerja.
PS: Kamukah yang selalu kelihatan di blog Ellie Eskapisam. Aku dan Ellie adalah orang yang sama.
aku bimbang juga~
ReplyDelete