Wednesday, January 20, 2010

Aku Bosan, Maka Ini : Mimpi Syurga Ketika di Neraka

Pagi itu suasannya dingin. Embun tidak seperti biasa. 'Jom bai, gua ada tujuh ringgit !' ajak Rusli sambil kaki bergegas menolak daun pintu yang tertera staff only. Leman G meletakkan label besi berlogo orang tua mat saleh di kaunter, selepas memberi isyarat mata kepada Adi, menandakan kaunternya ditutup.'Lu simpan sikit !' pesan Adi.

Dua orang lelaki riang itu berjalan seiringan sambil bernyanyi Lu bagi tujuh ringgit / Gua bagi lapan ringgit / Sama - sama kita bukak../ berulang - ulang. Sampai di kedai sebelah, lepas bayar dan kata 'Keep the change !', Rusli dan Leman G mengambil pot betul - betul di tepi selekoh. Rusli cucuh rokok dan sedut dalam - dalam. Di depan, restoran tempat mereka bekerja agak lengang. Leman G menjeling ke arah skrin henset. Pukul 4 pagi, biasalah, waktu - waktu begitu kastemer tidak berapa ramai. Yang ada sekarang tidak sampai lima orang, tiga daripadanya ialah negro yang sedang duduk di meja tepi. Rusli dan Leman G boleh melihat mereka melalui dinding cermin dari luar restoran, tempat mereka sedang berehat sekarang.

Uniform merah ditanggal dan diletak di tepi. Leman G teguk air yang dibeli dari seven e bersama Rusli. Nikmat. Ada suku lagi air dalam botol, untuk Adi. Tembakau Harvest digulung elok, dicucuh dan berbaring bersama Rusli memandang langit. Nikmat.

Seketika, lalu dua orang perempuan. Skirt pendek berdetap - detup berjalan di depan mereka. Rusli segera bangun dan tersengih. 'Feewwiit..!' Leman G tergelak melihat muncung mulut Rusli.

'Apsal orang Arab gebu - gebu hah?' tanya Rusli dengan nada tidak puas hati.
'Gua tak belajar biologi bro..keh keh' Leman G menjawab dengan mata terpaku pada paha perempuan Arab.

Sepi seketika. Dua tiga kereta berderet memasuki selekoh. Terdengar muzik Akon dari kereta yang di tengah. Berhenti betul - betul di depan restoran. Tiga orang perempuan Melayu keluar dari kereta dan menolak pintu kaca. 'Adi dapat lauk bro !' sengih Rusli makin lebar. 'Takpela, upah dia jaga kaunter sorang-sorang.....heh' balas Leman G.

Sepi lagi.
Lampu jalan bercahaya.
Kepul asap ke udara.
Air tinggal seteguk.

'Lima minit lagi kita masuk bro..!' arah Rusli. Leman G angguk sambil menyambung sedutan rokok gulung. Kabus pagi makin galak. Mamak di kedai hujung sedang mop lantai. Brader seven e lepak seorang di luar. Perempuan Arab, Negro dan Melayu bersilih ganti. Semuanya dalam kitaran ruang masa.

Begitulah. Rutinnya sama. Setiap malam dan awal pagi. Kisah tiga orang belia tipikal : Rusli, Leman G dan Adi. Restoran 'kapitalis' FasFud bertentangan Coco Banana di Bandar Sunway sudah jadi semacam tempat mereka bermain, dan belajar tentang hidup. Andai Nik Aziz menggelar Kelantan adalah Sebuah Universiti Terbuka, maka Restoran 'kapitalis' FasFud Sunway Metro boleh dianggap sebagai sekolah terbuka buat Rusli, Leman G dan Adi. Ketiga mereka dari latar yang berbeza. Membesar dalam persekitaran yang tidak serupa. Namun bertemu di situ, mencari rezeki dan dibayar RM4 / jam.

Lima minit berlalu, Rusli bingkas bangun. Leman G meniru gerak. Keduanya berjalan menuju ke pintu restoran. Botol berlogo harimau ditinggalkan untuk Adi di situ.

Sambil berlalu, Leman G menoleh ke belakang seketika. Langkahnya terhenti. Di situ, di tepi botol berlogo harimau dan habuk - habuk rokok, ada seorang lelaki berkopiah, duduk di atas sejadah, berposisi tahayat akhir.

Leman G berpeluh dalam dingin kabus. Di gosoknya mata berpuluh kali. Leman G kenal kopiah yang dipakai lelaki di atas sejadah. Malah kain pelikat dan baju Melayu merah yang dipakai lelaki tersebut juga Leman G kenal.

Itu aku!

Leman G; seorang belia tipikal yang terperangkap dalam mimpi - mimpi lalu. Kotor, jijik dan hidup berbekalkan pahala - pahala lampau.

1 comment:

  1. culture shock.

    Kat kampung tiap kali semayang pon gerak surau. Kat bandar, wat qiyam kat club, mulut basah ngan arak.

    ReplyDelete