Sunday, January 3, 2010

Tepat 12 malam, jarum jam bertukar jadi soldadu masa

Malam tahun baru, Mail sendiri. Berbaring diatas tilam kusam tanpa teman. Denting jam kedengaran dari jauh. dua belas kali semuanya.

Bilik Mail yang cerah tiba-tiba gelap. Bagus, malam tahun baru, blackout pula, fikir Mail. Dia melihat sekeliling dalam gelap, cuba menyesuaikan mata dengan kegelapan.

Jam dinding bulat jenama Quartz itu berubah bentuk. Mail menggosok mata berkali-kali, tidak percaya. Ilusi semata. Dia bangun mendekati. Benar jam bulat putih itu sudah berubah.

Jarum saatnya bertukar jadi Panglima, ketot sahaja orangnya, bermisai tebal, botak.
Jarum jamnya bertukar jadi Jeneral, tinggi gagah perkasa, berotot lengan dan dada, berambut putih.
Dan nombor jadi askar biasa- Leftenan, Mejar, dan Korporal.

Semuanya berpakaian putih seperti navy, dibezakan melalui pingat yang tergantung di atas baju, sebelah kiri dan kanan dada.

Seorang demi seorang melompat keluar daripada jam mengelilingi Mail yang terduduk ketakutan dalam kebingungan.

Mail terketar-ketar. Nafasnya turun naik, peluhnya memercik keluar. Dalam sunyi malam, dia dapat dengar dengup jantungnya sendiri yang bagai hendak pecah keluar.

Semua askar nombor itu menghunuskan pedang panjang ke arah Mail, dekat sekali sampai terasa ke urat leher.

Panglima ditemani jeneral mendekati Mail. Terasa nafas busuk Panglima itu di muka Mail.

'Apa yang kau lakukan sepanjang tahun lepas?' Bisiknya perlahan.

5 comments: