Tuesday, February 2, 2010

Kisah Sambung Menyambung: Rokok, Kopi, Ereksi dan Cinta Untuk Kamu

Satu pagi, waktu subuh sudah sampai klimaks waktunya dengan matahari, saya bangun terpisat-pisat menahan debar mimpi. Tetapi mimpi saya bukan kisah yang saya ingin khabarkan, ini kisah bagaimana saya jatuh cinta dengan seorang wanita-bertudung-litup-muslimah pada pagi itu. Ini kisah cinta yang klise, yang penuh dengan metafora bulan bintang bunga, asyik dengan prosa jiwang klasik dan memualkan. Ini kisah saya, dan setiap orang berhak bercerita tentang kisahnya.


Baiklah, kembali kepada kisah saya. Siapa saya? Tidak perlulah tahu. Hanya saya ialah pencerita atau pengosip atau batu api, pilih saja gelaran untuk saya setelah selesai membaca naratif ini. Elok begini bukan? Hanya kenal saya sebagai saya, seperti saya mengenali kamu yang sedang membaca ini sebagai kamu. Tiada obligasi sosial, setelah kisah ini saya ceritakan, kita kembali kepada kehidupan masing-masing tanpa bebanan. Kerana yang penting ialah kisah bukan pencerita, pendapat saya.


Kamu, sudah bersedia mendengar kisah seorang saya?


Pagi itu, saya bangun daripada tidur dengan peluh basah belakang badan. Bukan mimpi bidadari, tetapi mimpi raksasa. Eriksi penuh mencanakkan kain pelikat yang dipakai masih belum surut, walaupun bermimpi raksasa, eriksi pagi tetap wujud. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya saya masih sihat sebagai lelaki. Oh, saya seorang lelaki, lupa hendak beritahu. Saya depangkan tangan dan lunjurkan kaki, bangkit mencapai rokok dan nyalakan. Sarapan pagi cukup sebatang rokok dan secangkir kopi. Selepas rokok dinyalakan, saya menuju ke dapur membancuh kopi. Dengan gelas di tangan, saya duduk di kerusi di balkoni rumah. Oh,lupa juga hendak beritahu, saya tinggal di kondominium yang ada balkoni, bukan rumah pangsa atau flat yang macam kotak mancis, tapi kondominium yang bentuknya macam menara berkembar. Saya hembus nafas yang diracuni asap rokok kuat-kuat, masih lagi memikirkan mimpi ngeri semalam, pada ketika itulah saya terlihat kamu, duduk di perhentian bas memakai baju kurung merah hati dan tudung hitam. Kulit kamu cerah, cermin mata tanpa bingkai terletak elok di wajah kamu. Hati saya berdebar kencang, dan saya tahu saya jatuh cinta pandang pertama.


Cinta pandang pertama? Saya tidak pasti sekarang, atau mungkin juga kerana waktu pagi di waktu saya mengalami ereksi, kebetulan saya ternampak kamu, maka saya fikir saya jatuh cinta. Mungkin juga kalau orang lain yang duduk di perhentian bas itu pada waktu dan pagi itu, saya mungkin tertarik pada orang tersebut. Cuma kebetulan, kamu yang duduk di situ, dan saya fikir saya jatuh cinta pada kamu. Kawan saya kata, jatuh cinta tidak perlukan alasan. Saya fikir itu tipu, kita perlukan alasan untuk jatuh. Macam tersepak batu kemudian jatuh di jalan, atau terlanggar bahu orang dan hampir terjatuh. Maka, alasan saya jatuh cinta pada kamu mungkin ialah raksasa, rokok, kopi, balkoni dan ereksi. Rentetan peristiwa dan benda yang menyebabkan saya duduk di balkoni saat kamu menunggu bas atau teksi. Kalau tidak kerana mimpi ngeri, saya akan bangun lewat dan terlepas melihat kamu di situ, atau mungkin kalau bukan kerana ereksi, saya lebih banyak memandang langit pagi dan memejam mata bukan meliar mata melihat perempuan yang mungkin berada di sekeliling. Semuanya kebetulan, atau perancangan teliti yang nampak seperti kebetulan. Takdir barangkali?


Maka, saya memandang kamu sungguh-sungguh. Kamu tidak nampak saya, kerana saya di tingkat empat, kamu pula di bawah perhentian bas. Saya lihat kamu gemuruh sedikit, kadang-kadang menguap sambil cepat-cepat menutup mulut dengan tangan. Bag tangan kamu letakkan di atas peha berserta fail tebal. Kamu asyik memandang ke kanan, menunggu bas yang tidak kunjung tiba. Sekarang saya pasti kamu sedang menunggu bas, kerana beberapa teksi yang lalu, kamu tidak tahan. Kamu seakan gelisah, telapak tangan kanan dan kiri, kamu tautkan menjadi kepal penumbuk. Kadang-kadang kamu memandang ke bawah, penat memandang arah kanan. Gerak geri kamu semuanya terancang, seolah kamu tahu sedang diperhatikan. Adegan ala-panopticon ini berterusan agak lama. Kemudian bas datang, dan kamu hilang ditelan perut bas buruk asap tebal. Dan saya masuk kembali ke bilik menyambung tidur, berpuas hati dengan perasaan cinta sendiri.


Saya bangun kembali jam 1 petang. Mengemaskan diri, kemudian berbaring di ruang tamu. Saya masih menganggur selepas berhenti kerja bulan lepas. Fakta ketiga yang kamu tahu mengenai saya. Saya rasa lapar, maka ke dapur merebus mee segera dan makan di depan telivision. Rumah sepi sekali, saya duduk seorang diri, lebih selesa begitu.


Kembali ke ruang tamu, saya meneliti rak buku yang sudah berdebu. Lama sungguh tidak membaca, saya capai Norwegian Wood dan mula membaca helai demi helai. Sudahnya saya terlena sekali lagi diatas kerusi panjang ruang tamu, bangkit menjelang maghrib dan sekali lagi menyalakan rokok dan membancuh kopi sebelum ke balkoni. Saya ternampak kamu turun daripada bas, sebelum melangkah laju menuju ke arah flat kotak sebelah jalan. Kebetulan sekali lagi? Cuma kali ini tanpa ereksi.


Begitulah setiap pagi dan petang saya melihat kamu menunggu dan turun daripada bas. Setiap kali itulah yang menemani saya cuma rokok dan kopi.


Satu hari, saya beranikan diri untuk turun ke perhentian bas dan menunggu kamu. Saya bangun awal pagi, memakai baju dan seluar paling bersih, bercukur jambang dan misai yang sudah berminggu tumbuh meliar. Saya menunggu kamu di situ berjam lamanya, tetapi kamu tidak muncul. Saya cuba lagi petang itu tetapi kamu tidak juga turun daripada bas. Berhari-hari saya menunggu kamu di perhentian bas.


Akhirnya saya ambil keputusan bahawa kamu tidak akan muncul lagi. Anggapan saya tepat, kerana pagi hari tiada lagi kamu yang berbaju kurung-bertudung litup bercermin mata, seolah ghaib daripada dunia.


Yang ada cuma kopi dan rokok menemani saya, dan ereksi, serta Norwegian Wood yang sudah saya khatamkan banyak kali.


Selesai sudah kisah saya. Klise sahaja, bukan ada apa-apa, nampak seperti tiada hala tuju, saya fikir kisah kita semua (saya dan kamu) memang begitu sifatnya, banyak tergantung daripada selesai. Atau mungkin juga penyelesaiannya tidak sama seperti harapan menyebabkan kita fikir hidup ini tiada arah tuju?


Sekarang giliran kamu untuk bercerita pula.


Kisah saya:

5 comments:

  1. kisah kami tak best. kisah kamu best. yang misteri itu best. yang tersorok itu menarik

    ReplyDelete
  2. bung mar, salam! senang dapat kawan.

    ReplyDelete
  3. tanpa buang masa mari kita mulakannya.

    kisah saya.

    erk..erk..herm

    ReplyDelete
  4. aku selalu lihat kamu di situ, bersama teman-temanmu, ketika kamu sendiri juga, dan kadang-kadang bila mata kau menangkap mata aku, kau cepat-cepat alihkan.
    aku masih saja melihat kamu.
    sampai suatu hari, kau ditemani seorang wanita dan bayi comel.

    ReplyDelete
  5. ohh.. ak mugkin ditakdirkan sang malu tapi mahu. emosi malu memenuh dalam diri. ak suka beliau. ak mahu melihat beliau. ak mahu mencaritahu serba-serbi tentang beliau. tapi ak malu ohh.. dan hingga kini, 3 tahun berlalu. ak masih malu tapi aku tetap mahu. perasaan itu sungguh tiada indah sama sekali.

    ReplyDelete