Thursday, February 4, 2010

Kisah Saya : Laici Gebu dan Pari - Pari Dalam Inbok

Setiap anak mata yang memandang pasti buta dengan panahan cinta pandang pertama Aphrodite. Kehidupan tatkala itu, di Olimpus penuh dengan warna - warna kosmos yang membentuk mitos pada hari ini. Dan pada satu tahap, dewa - dewa lain khuatir, Aphrodite akan menjadi punca yang akan merosakkan damai. Walau apa sekalipun, hakikatnya Aphrodite adalah seorang dewi cinta yang paling agung. Renungannya sahaja bisa meruntun jiwa si penglihat.

Begitu, indahnya dewi cinta bernama Aphrodite.

Ketika saya menaip ini, tidak ada Aphrodite. Dan tidak ada renungan menusuk kalbu. Yang ada hanya siren petugas jabatan kesihatan daerah setempat yang memaklumkan bahawasanya kerja - kerja penyemburan asap untuk mengelak wabak denggi daripada merebak, akan berjalan sebentar sahaja lagi. Seperti biasa kain yang di dapur dilipat panjang untuk menutup celah bawah pintu agar semburan asap tidak sesat ke dalam rumah. Cukuplah asap nikotin yang dibayar kepada paksi yahudi berlegar-legar dalam ruang rumah saya ini. Ya, saya menghuni sebuah rumah yang kesemua penghuninya tidak mesra, terutama bab yang memerlukan kami membuka pintu kepada petugas jabatan kesihatan. Hell no! - kawan pondan saya selalu menyebutnya. Jadi saya tiru sebab merasakan ungkapan itu sungguh kay-ell.

Berbalik soal rumah. Rumah saya ini biasa - biasa sahaja, bertaitel strata, atau dalam bahasa mak jah dan pak talib, flat. Suatu waktu dulu, ada seorang kawan pernah berkata *rumah flat ini seolahnya macam kotak mancis. Saya mengerti, metafora itu merujuk kepada saiz. Tidak se-borjuis kondominium; punya balkoni. Saya senyum dan hemburkan tawa. Dan dia memang seorang kawan yang pandai bergurau. Oh, dia juga manja. Saya tahu dia manja. Sebab itu dia katakan flat yang macam kotak mancis. Manja bukan bunyinya?

Sebelum tiba ke perenggan ini, saya berhenti dan beralih ke kabinet hujung, menyiapkan secawan oldtown. Perhatikan paradoks yang wujud dalam cerita saya ; tinggal di flat namun masih mampu menyiapkan secawan oldtown untuk hidangan diri. Itu belum lagi saya ceritakan koleksi gejet - gejet dalam simpanan saya, set pakaian yang tentunya bukan murah dan sebagainya lagi.

Sekarang saya menyambung taipan rumi dan berada di perenggan ini, sambil kulit menahan dingin angin malam yang saya rasa, cuba untuk menyetubuhi saya. Kulit saya halus. Putih yang tidak pucat. Lebih putih daripada orang yang mendakwa tinggal di kondominium itu. Dan saya tidak ada bulu dada yang berselirat meliar.

Bercakap tentang malam, oh ya. Semalam saya ada melakukan jenayah. Senjatanya cuma satu; Taal. Sila google kalau tidak tahu. Dan saya melakukan jenayah tersebut terhadap seorang gadis. Jangan, jangan bertanya kepada saya siapa gadis tersebut dan apa bentuk hubungannya dengan saya.

Gadis yang saya lakukan jenayah terhadapnya itu menerima seada mungkin jenayah yang saya lakukan. Malah dalam ungkapan ringkas dia membalas alaaa sweetnya...tq. Hebatkan saya? melakukan jenayah dan diucap pula terima kasih bersulam kata pujian.

Gadis tersebut, selalu sahaja saya perhatikan dari dekat. Kerap sahaja wajah naifnya bersentuh dengan wajah saya. Maklumlah, saya ini gemar duduk rapat depan skrin laptop setiap kali mengintai gambar profailnya di rangkain sosial. Seinci sahaja wajah saya dan wajah si gadis. Dan ya, saya seorang stalker.

Saya tahu, tentu timbul nafsu bertanya apa jenayahnya. Ya, saya tuliskan kepada gadis tadi serangkap ucapan. Barisnya tidak pernah wujud di dalam kad - kad ucapan bergambar beruang gemuk berbulu lebat di kedai hadiah mahupun serbaneka. Normal is boring! - kawan saya yang lain pernah mengungkap ungkapan ini suatu waktu dulu dalam korpusnya, dan saya ikut sebab ungkapan itu kelihatan sungguh gebu dan lazat, persis buah laici dalm tin yang menunggu masa untuk disuap ke mulut . Dia ingat saya lupa butir tulisannya, tapi tidak.

Oh ya tentang rangkap tadi. Saya ambil masa hampir 3 jam berfikir tentang perkara apa yang harus diucap. Dalam tempoh 3 jam berfikir diselangi asap nikotin, cerita tivi, lagu di window media player dan intaian saya terhadap aktivitinya di rangkaian sosial, saya terbaca dia akan punya misi penting keesokan hari.

Ya! ucapan gudlak semestinya sesuatu yang sesuai ketika ini bukan?!!

Hati saya berbunga. Saya mahu tulis rangkap ucapan. Seperkara yang saya cukup bermasalah dalam hidup ini, ialah saya sukar untuk bercakap dalam bahasa perempuan.

#Berikutnya adalah klimaks kisah saya.

Mulanya saya tulis ucapan yang mengandungi konsep manusia superman Friedrich Nietzsche dan perkaitannya dengan gudlak. Kerana saya kira saya kagum terhadap Nietzsche. Namun saya padam. Gila ke apa mahu selitkan Nietzsche dalam ucapan gudlak.

Kemudian saya tulis tentang perjuangan Abdullah Azzam menentang imperialisme Soviet Union dan perkaitannya dengan gudlak. Takut dilabel sebagai mujahidin radikal oleh si gadis, saya padam untuk kali yang kedua.

Saya kaku seketika. Benar, menulis ucapan untuk gadis bukan bidang saya.

Ketika membelek Tumit Achilles oleh Khalid Jaafar, secara spontan saya terlintas. Ya, saya akan tulis tentang pari - pari, dan cuba mengaitkannya pula dengan konsep gudlak. Kerana pada perkiraan saya, perempuan suka kepada cerita pari - pari.

Dan saya tulis. Letak taitel 'fiksi bla bla bla..' (saya teringat seorang kawan yang lain; meminjam perkataan fiksi daripadanya). Tekan butang send.

Terima kasih, saya rasa Aphrodite membantu saya ketika menulis rangkap ucapan untuk si gadis.

Memandang skrin laptop, tetap hati saya memberontak. Masih tidak pandai untuk bercakap dalam bahasa perempuan. Rangkap ucapan yang terselit cerita pari - pari itu juga sumbang bunyinya.

Ada tips?

3 comments:

  1. erk// banyaknya perkataan2 bombastik yang wa tak penah dengar..

    ReplyDelete
  2. Cakap saja good luck. Oh, adakah gadis ini kamu mahu sebagai aphrodite kamu?

    ReplyDelete
  3. kamu kan puitis. cuma mengulunggan semua bicara dengan suatu ayat. bukan karangan.

    mungkin kau boleh tulis,

    *semoga lebih bersinar, matahari

    ReplyDelete