Thursday, April 29, 2010

Kisah cinta yang kaum ayah ceritakan selepas kaum ibu berikan dongengan; keduanya melelapkan si anak bila malam menjelma

satu hari dia berjumpa dengan bidadari yang memberikannya cinta. dia tidak pernah bermimpi, dalam hayatnya yang penuh noda dan selalu sendiri, ada cinta yang dijatuhkan dari Arash untuknya. dia berjanji tidak akan memberikan sebab untuk air mata jatuh daripada mata hening bidadari. tetapi akhirnya, dia menyebabkan juga bidadari menangis di satu petang. dia menyimpul resah dan sesal dalam lafaz cintanya, berdoa supaya anugerah suaranya ditarik kembali, supaya kata-kata tidak lagi menikam hati halus bidadarinya. saat dia menadah tangan berdoa kepada Esa, muncul tok kebayan memberikan kata-kata hikmah, walau lebihnya banyak kepada leteran dan khutbah.

Dia, pencinta setia dalam kesat bahasa dan kasar gurauan. Takdirnya dia manusia. Bukan enjel bersayap putih atau ifrit bertanduk dua. manusia yang dicipta menjadi penghubung dualiti , yang dalamnya ada bilah-bilah sayap enjel yang terjatuh, dan tanduk ifrit yang baru menumbuh. kerana itu, manusia punya syurga dan neraka. dosa dan keampunan, pahala dan ganjaran. semuanya bertelingkah sesama sendiri dalam tubuh yang dia diami.

dongeng sekadar dongeng. Jalinkan dengan magis realiti dan absurd takdir, bak pil-pil yang kita telan dengan wiski. bodoh.

‘cinta’ bahasa universal manusia, yang kerangkanya dicipta oleh bahasa, entah purinya ke mana.

hujan malam yang menitis perlahan-lahan, dalam aspal enjin bergerak pantas, titisnya jatuh. kenapa tidak pernah bertanya, kenapa asalnya atas ke bawah? atau sebenar-benarnya pertanyaan yang wajar timbul ; berapa kali air berputar dari atas ke bawah dan ke atas kembali? sejak Adam dan Hawa bersatu, adakah elemen dunia masih yang sama? dan elemen syurga kekal tidak berganjak nikmatnya? dan neraka masih bara menunggu?

seperti cinta yang bergentayangan di atas jatuh ke bawah, saatnya nanti akan melayang ke atas. atau benci, dan sesal, dan kesedihan, dan sengsara. dari atas jatuh ke bawah, naik ke atas dan ke bawah lagi. berapa lama kitaran rasa mengelitis jiwa? atau manusia jadi pelupa diterjah bersalah?

aku harap malam ini, bila dia berdoa, hijab tuhan tertutup. sungguh, dia tidak akan mahu jadi bacul dan hidup dalam soal-soal kalau.

dia menangis di kolam mata, aku berderai di lubuk hati. kata lelaki itu. ada kebasahan di sejadah tuhan.

kerana kau manusia, dan dia bidadari. balas tok kebayan.

tokkebayan. 2359 28april2010

2 comments:

  1. sedang meraikan keperempuanan seorang perempuan.

    ReplyDelete
  2. Salam

    Menghiris kalbu, Mengundang sendu..
    Indah dan halus bahasanya..

    Kerana manusia biasa tak pernah bebas dari melakukan dosa..
    Biarlah doanya kali ini gagal membelah tujuh susunan langit Illahi..

    ReplyDelete