Friday, May 21, 2010

Cerita lelaki yang dihukum

saya tidak pasti sama ada saya masih layak untuk bicara soal sayang.

masih saya ingat. setahun lalu sewaktu dia menelefon awal pagi bertanya soal hati selepas dia; menyatakan isi hati. tika itu dalam fikiran saya ya, perempuan memang makhluk lembut yang dicipta tuhan dengan sifat berani. serak suara dan tenggelam timbul nafasnya membuatkan saya tenggelam dalam rasa. saya pedulikan getar hati yang bukan sejuk disebabkan dingin pagi, lalu memberikan kata jawab; ya. saya masih berselimut saat itu - sleeping bag biru yang dibeli sewaktu masih giat sebagai aktivis tegar alam sekitar yang tiap hujung minggu dipenuhi dengan menawan puncak - puncak gunung. matahari pagi dan unggun api yang dibasahi titis kabus memang benar-benar buat hati saya jadi mellow. umur sleeping bag yang diguna saya barangkali lebih kurang 3 atau 4 tahun sewaktu dia menelefon pagi itu. ada kesan terbakar api rokok di sisi sebelah kanan, dekat penutup kepala.

dan kemudian; anna pergi.

lalu saya ketepikan satu hal kemanusiaan yang ada pada diri dan hidup dengan hal - hal yang lain; memungkinkan saya kekal (masih) sebagai seorang manusia. takut kalau - kalau dihiraukan hal yang satu itu, barangkali kes anna berulang.

dan ya; kes anna berulang.

tuhan cipta dia; cinta hati hadir sebagai memenuhi tuntutan catatan pada daun sebatang pohon di luh mahfuz. orang katanya sebagai - takdir. dan dia masih bertanya ; 'saya tidak faham kenapa tuhan wujudkan pertemuan antara saya dan awak'. takdir-lah. saya jawabnya di dalam daging hati.

saya berikan (sekali lagi) kata jawab; ya, ketika dia (cinta hati) bertanya soal hati. tika itu dalam fikiran (sekali lagi) saya ya, perempuan memang makhluk lembut yang dicipta tuhan dengan sifat berani. tempoh ini; adalah  tempoh yang tuhan berikan saya ruang untuk melihat sisi syurga dunia. meraikan keperempuanan yang ada pada perempuan bukanlah peluang yang selalu hadir dan kita bisa berasa asyik dengan rengek dan  lenggok bahasanya. saya masih merindukan halus nadanya di hujung talian tatkala berhubung; walau jarang. seingat saya, saya berbogel di depannya. bercerita kisah - kisah yang tidak pernah saya kongsikan dengan manusia lain. dan saya melawan arus; kejaguhan lelaki semasa tempoh berkenal-kenalan yang mahu kelihatan sempurna pada mata si gadis; tidak pernah sama sekali saya praktiskan. saya dimakan dan dikunyah hingga lumat oleh realisme yang saya anuti, melenyapkan sama sekali bukti - bukti perasaan kasih dan sayang saya pada dia.

dan kemudian; cinta hati saya pergi.

saya; lelaki yang dihukum kerana ucap kata dan tulisan. bisa buat hati perempuan ghairah dan akhirnya berlalu pergi. berdosa?

2 comments:

  1. i fell for someone like you. right now.

    kerana ucap kata dan mungkin juga tulisan. aku dah tahu ia akan berakhir pahit.

    tapi, bukankah perempuan diciptakan berani?

    dan dalam kes aku, bodoh juga.

    ReplyDelete
  2. bagi aku:
    kau belum lagi ditemukan dengan yang benar2 ingin memahami.
    teruskan mencari :)

    ReplyDelete