Wednesday, December 23, 2009

Jiwa ialah Pemburu Kesepian: Versi Awal


Dalam satu daerah mungkir, ada seorang lelaki bernama Jiwa. Kerjanya ialah pemburu kesepian. Tugasnya mudah, hanya mencari cinta untuk pelanggan. Dia menilik dalam bola kristal merah darah, dan akan diberitahu kepada mereka yang datang. Siapa pasangan mereka? Di mana akan bertemu? dan sebagainya. Pelanggan-pelanggan itu akan balik tersenyum puas, keyakinan bahawa satu hari nanti, di tempat dan masa dikatakan oleh Jiwa mereka akan bertemu kebahagian.


Cuma mereka yang datang tidak tahu, saat mereka balik. Jiwa akan melihat lebih jauh perjalanan hidup pelanggannya. Melihat selepas saat mereka semua berjumpa, bagaimana cinta melukakan mereka, kejadian-kejadian selepas jatuh hati yang menyesakkan, sehingga lah selepas berkahwin, bagaimana setiap seorang daripada mereka-lelaki dan wanita- berpura-pura dalam diam, menyimpan rahsia masing-masing erat. Dan jiwa menyaksikan mereka semua masih bersama walau sudah tiada cinta dalam hidup.


Tidak, Jiwa tidak menipu. Dia cuma memberitahu apa yang mahu didengari. Bahagia dan harapan. Bukan luka dan sengsara. Itu tugasnya, memberi realiti indah. Walau keindahan adalah absurd, itu yang mahu dicari.


Satu hari ada seorang wanita datang. Berkurung hijau, bundar matanya, cukup sempurna sebagai wanita, sehingga tiada kata-kata boleh digunakan untuk menggambarkannya. Perkataan apa yang mahu kau guna untuk menggambarkan wanita yang sempurna? Cantik, menawan, indah, bidadari, engel, jelita semuanya sudah klise. Wanita sempurna tidak boleh dilambangkan dengan apa-apa, sebagaimana perasaan yang dibawanya tidak boleh diteka jenisnya. Wanita ini sempurna fikir Jiwa, dalam ketidaksempurnaan hidup.


Jiwa memegang bola kristal merah darah, tiba-tiba ia bersinar terang, warna perak. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Jiwa hairan, Jiwa pelik. Dalam kilauan itu, dia melihat dirinya bersama wanita itu. Dan ada anak kecil, di sebuah rumah kecil tepi pantai. Semuanya indah, rasanya bahagia.


Dia katakan pada wanita sempurna itu, dia tidak akan berjumpa sesiapa pun untuk seumur hidupnya. Dan wanita itu berlalu muram sekali, ada air mata yang menitis sewaktu dia berpaling melihat Jiwa sebelum pergi.


Jiwa terus menilik, tetapi tiada sengsara, tiada derita, cuma bahagia dan cinta.


Tidak mungkin! Tiada kebahagian sempurna! Tiada Kebarangkalian!


Apalagi wanita untuknya, tidak mungkin akan terjadi.


Dia ialah Pemburu Kesepian. Tidak mungkin temu cinta.


Kerana dia hanya akan temui sepi dalam kerjanya, dalam setiap tilikan yang dibuat, dia menemui sepi dalam cinta orang lain. Mustahil benar dia serempak cinta dalam cinta untuk diri sendiri.


Itu adalah pengkhianatan paling agung yang boleh dilakukan untuk orang sepertinya.


Jiwa membiarkan gadis sempurna itu berlalu pergi, seperti mana dia membiarkan cintanya berlalu pergi, seperti air yang mengalir antara celahan jari.



Tetapi kenapa dia merasa pedih? Bukankah dia sudah biasa dengan kesepian? Kenapa dengan satu angan bahagia yang hadir selintas lalu mengoncang ruang sepi yang sudah diam dalam diri beradab lamanya?

2 comments:

  1. penuh makna..tidak boleh menolak takdir.kamu sungguh bijak! aku memuji hanya pada yng layak

    ReplyDelete