Friday, December 18, 2009

Semua Sesat, Hanya Kami Benar: Versi Benar


Kebenaran bukan relatif, yang benar tetap benar, salah sampai bila-bila pun satu kesalahan. Perlukan hukuman, perlu kepada tindakan. Kebenaran bukan perspektif, ia hakikat. Duduk dari mana pun sudut pandangan Kau, kebenaran sentiasa satu.

Penjaga Pintu Kebenaran mundar-mandir. Di depannya sekumpulan manusia yang digari kaki dan tangannya, mulut mereka disumbat kain putih, kain kebenaran. Dahi mereka di dicalit dengan cat hitam, tanda pesalah. Semua mereka diberikan nombor.

“Pesalah Satu, bangun!” Penolong 1 Penjaga Pintu Kebenaran mengherdik keras.

Pesalah yang ditandai 1 bangkit, seperti semua dia di sumbat mulutnya, kaki dan tangannya bergari.

“Kesalahan mempertikaikan soal ketuanan. Sudahlah pendatang, merempat, mahu bersoal-soal tentang hak!” Suara Penjaga Pintu Kebenaran keras dan lantang.

“ Hukumannya ialah, mulutmu akan dilecurkan dengan api panas. Kaki dan tangan dipotong!” Hukuman dijatuhkan, tanpa soal, tanpa bela diri.

“Pesalah Dua, bangun!”

“Kesalahan memberikan pandangan lain tentang soal ibadah, isu gaya hidup. Sudahlah sesat, agama bukan tempat untuk berlainan pendapat. Semuanya sudah jelas dan terang!”

“Hukumannya ialah kepala mu akan dibedah, otak dikeluarkan dan kau akan hidup tanpa akal dan fikiran!”

“Pesalah Tiga, bangun!”

“Kesalahan ialah hidup tidak seperti biasa.Tidak normal. Manusia dilahirkan untuk hidup, bekerja, dan mati. Bukan bermalasan sepanjang hari dan mencabar semua perkara! Penulis dan Ahli Falsafah bukan pekerjaan!”

“Hukumannya ialah kamu akan dihantar ke kem pemulihan minda dan fizikal. Kamu perlu disucikan supaya berguna kepada masyarakat! Jika tidak berkesan, kamu akan dibuang ke Daerah Haiwan!”

Dan begitulah seterusnya Penjaga Pintu Kebenaran dan konco-konconya menjatuhkan hukuman dan menghakimi pesalah.

Kebenaran cuma satu. Tidak berubah-ubah. Tidak ada perspektif.

Kami ialah Kebenaran.

3 comments: