Saturday, January 29, 2011

Tuhan Tahu Kita Lemah

Pagi Sabtu.

Siti bangun tidur dengan air mata basah di muka. Mimpi malam semalam benar-benar menjeruk tidurnya. Masam dengan segala kenangan yang sedia upaya di tinggalkan. Dia bangkit, menarik nafas dalam-dalam, menarik tuala di penyidai dan menuju ke bilik air. Semuanya perlu dibersihkan, noda dan dosa yang menyelinap di dalam liang-liang dagingnya perlu dikeluarkan. Waktu air sejuk di cedok dari kolah bilik air, dia merasakan segenap kotor dosanya masih melekat di badan. Dia sental , gosok berulang kali- bercampur baur dengan esak tangis yang semakin lama semakin kuat. Tuhan, keluhnya. Kenapa?

Malam Sabtu.

Waktu Adli mengerang kuat malam semalam dan memuncak nafsunya dalam peluh jantan menitis kuat, ada bayangan-bayangan menerjah ke kepala. Dia termengah-mengah menahan nafas. Selesai semuanya, Adli tidur lena. Memeluk erat badan manusia yang dikerjakannya semalam. Lembut kulitnya dicium-cium dan aroma wangi menusuk hidung dan mengelorakan nafsunya sepanjang malam. Dia peluk erat kejap tidak mahu lepaskan segalanya. Tuhan, keluhnya. Mengapa?

Petang Sabtu.

Ada titis-titis hujan yang turun, lembut gerimisnya. Siti berlari-lari anak ke kereta, melindungi kepalanya dengan fail dan beg kulit. Masuk ke kereta, rokok dinyalakan dan dia menghembus ke luar, membiarkan asap bercampur baur dengan nyaman hujan. Ada orang yang melambai-lambai ke arahnya. Siti membalas balik.

'Encik Adli dah nak balik?' jerit yang bertanya. Perempuan bertudung putih, berbaju kurung merah jambu rona lembut.

'Ya, mahu jemput isteri. Dia nak beli barang' Balas Siti sambil tersenyum mesra.

'Jumpa Isnin nanti ya' Malas hendak memanjangkan perbualan, dia melambai tanda mahu pergi dan menghidupkan enjin kereta.

Tuhan, keluhnya dalam hati. Apa?