Sunday, January 31, 2010

Dan ketika Tuhan terbuang di daerah asing

Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya Yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar.Dan rahasiakanlah perkataanmu atau lahirkanlah; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala isi hati.Apakah Allah Yang menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu lahirkan dan rahasiakan); dan Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui?
QS. al-Mulk (67) :12 - 14

Ilayana menguis-guis pasir di celah jari kakinya dengan jari kiri, lutut dirapatkan ke dadanya yang erat-erat. Kepalanya di angkat ke depan melihat jauh ke horizon laut, garis pemisah biru langit dan laut seolah kembar seiras yang memakai baju berlainan warna.

Dibiarkan sahaja buih ombak membasahkan kakinya, dan setiap kali itu dia menguis-guis pasir yang tidak dibawa laut.

'Tuhan dimana?' rahmat tuhan, Ilayana kira bagai air laut yang menyetubuhi pantai. Ada pasir yang tertinggal setiap kali selesai, dan dia antara butir-butir halus pasir yang dilupakan.


Friday, January 29, 2010

Agama : Versi Ikutan, Bukan Diskusi

Sebelah stokinnya dibiarkan melurut ke bawah. Dan sebelah lagi masih mencengkam betis kanak - kanak perempuan itu. Botol air berwarna biru yang di silang di bahu melantun - lantun mengikut gerak kakinya. Tocang di kepala sedikit senget. Sekali pandang, irasnya seakan kanak - kanak Tionghua.

Lilith tunduk. Melepasi tiang elektrik di bahu jalan, dia dongak ke langit. **Senyum. Kemudian tunduk kembali sambil berjalan. Ada lagi 100 meter mahu sampai ke pintu pagar rumahnya.

Sampai selekoh yang betul-betul di hadapan rumah, ada sepohon pokok rendang yang besar. Di belakang ada padang yang luas. Lilith duduk di bangku batu, bawah pokok.

Seketika, dia menangis. Semakin kuat. Semakin nyaring.


"tipu!"
"tipu!"


Diulang - ulangnya perkataan itu, mungkin beratus kali, di situ.

Tadi di sekolah, ketika sesi mata pelajaran agama, ustazah bercerita tentang tuhan. Kata ustazah "Tuhan itu Pencipta, tidak dicipta dan Dia, satu". Ditambah lagi "Tiada apa yang menyerupai sifat Tuhan..".

Lilith dan rakan - rakannya diam mendengar. Khusyuk, ditambah suara ustazah yang lunak keibuan. Mereka hanyut, dibuai cerita dan bacaan ustazah tentang beberapa fragmen teks kitab.

....Tidak ada sesuatupun yang serupa (zatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha mendengar dan melihat. -asy syura : 11-

Lalu sahaja Lilith menyampuk dengan ghairah. "Jadi cifat 99 yang uctazah cerita minggu lalu itu ada yang tipu ek". Soal Lilith dalam pelat. Lilith sambung "yang dalam 99 itu ada cifat yang ada pada manucia". Lilith sambung lagi, kali ini semakin ghairah " Kita ada mata dan kita melihat, jadi Tuhan tidak melihat kan? al-bachir melihat kan? Dia tidak cerupa manucia kan?"

Ustazah hempap buku teks ke atas meja. Sampukan Lilith betul - betul melangkaui batas kesabarannya sebagai guru. Dalam nada yang masih keibuan ustazah menjawab "murid - murid, berdosa mempersoalkan sifat-sifat Tuhan. Ingat tu ya (!) ".

Ustazah berjalan keluar selepas diucap terima kasih beramai - ramai oleh muridnya. Lilith ditinggalkan di situ terkebil - kebil. Bersama persoalan besar dalam kotak fikiran seorang manusia kecil. Tanpa penjelasan.

Dan loceng waktu pulang pun berbunyi.

Wednesday, January 20, 2010

Aku Bosan, Maka Ini : Mimpi Syurga Ketika di Neraka

Pagi itu suasannya dingin. Embun tidak seperti biasa. 'Jom bai, gua ada tujuh ringgit !' ajak Rusli sambil kaki bergegas menolak daun pintu yang tertera staff only. Leman G meletakkan label besi berlogo orang tua mat saleh di kaunter, selepas memberi isyarat mata kepada Adi, menandakan kaunternya ditutup.'Lu simpan sikit !' pesan Adi.

Dua orang lelaki riang itu berjalan seiringan sambil bernyanyi Lu bagi tujuh ringgit / Gua bagi lapan ringgit / Sama - sama kita bukak../ berulang - ulang. Sampai di kedai sebelah, lepas bayar dan kata 'Keep the change !', Rusli dan Leman G mengambil pot betul - betul di tepi selekoh. Rusli cucuh rokok dan sedut dalam - dalam. Di depan, restoran tempat mereka bekerja agak lengang. Leman G menjeling ke arah skrin henset. Pukul 4 pagi, biasalah, waktu - waktu begitu kastemer tidak berapa ramai. Yang ada sekarang tidak sampai lima orang, tiga daripadanya ialah negro yang sedang duduk di meja tepi. Rusli dan Leman G boleh melihat mereka melalui dinding cermin dari luar restoran, tempat mereka sedang berehat sekarang.

Uniform merah ditanggal dan diletak di tepi. Leman G teguk air yang dibeli dari seven e bersama Rusli. Nikmat. Ada suku lagi air dalam botol, untuk Adi. Tembakau Harvest digulung elok, dicucuh dan berbaring bersama Rusli memandang langit. Nikmat.

Seketika, lalu dua orang perempuan. Skirt pendek berdetap - detup berjalan di depan mereka. Rusli segera bangun dan tersengih. 'Feewwiit..!' Leman G tergelak melihat muncung mulut Rusli.

'Apsal orang Arab gebu - gebu hah?' tanya Rusli dengan nada tidak puas hati.
'Gua tak belajar biologi bro..keh keh' Leman G menjawab dengan mata terpaku pada paha perempuan Arab.

Sepi seketika. Dua tiga kereta berderet memasuki selekoh. Terdengar muzik Akon dari kereta yang di tengah. Berhenti betul - betul di depan restoran. Tiga orang perempuan Melayu keluar dari kereta dan menolak pintu kaca. 'Adi dapat lauk bro !' sengih Rusli makin lebar. 'Takpela, upah dia jaga kaunter sorang-sorang.....heh' balas Leman G.

Sepi lagi.
Lampu jalan bercahaya.
Kepul asap ke udara.
Air tinggal seteguk.

'Lima minit lagi kita masuk bro..!' arah Rusli. Leman G angguk sambil menyambung sedutan rokok gulung. Kabus pagi makin galak. Mamak di kedai hujung sedang mop lantai. Brader seven e lepak seorang di luar. Perempuan Arab, Negro dan Melayu bersilih ganti. Semuanya dalam kitaran ruang masa.

Begitulah. Rutinnya sama. Setiap malam dan awal pagi. Kisah tiga orang belia tipikal : Rusli, Leman G dan Adi. Restoran 'kapitalis' FasFud bertentangan Coco Banana di Bandar Sunway sudah jadi semacam tempat mereka bermain, dan belajar tentang hidup. Andai Nik Aziz menggelar Kelantan adalah Sebuah Universiti Terbuka, maka Restoran 'kapitalis' FasFud Sunway Metro boleh dianggap sebagai sekolah terbuka buat Rusli, Leman G dan Adi. Ketiga mereka dari latar yang berbeza. Membesar dalam persekitaran yang tidak serupa. Namun bertemu di situ, mencari rezeki dan dibayar RM4 / jam.

Lima minit berlalu, Rusli bingkas bangun. Leman G meniru gerak. Keduanya berjalan menuju ke pintu restoran. Botol berlogo harimau ditinggalkan untuk Adi di situ.

Sambil berlalu, Leman G menoleh ke belakang seketika. Langkahnya terhenti. Di situ, di tepi botol berlogo harimau dan habuk - habuk rokok, ada seorang lelaki berkopiah, duduk di atas sejadah, berposisi tahayat akhir.

Leman G berpeluh dalam dingin kabus. Di gosoknya mata berpuluh kali. Leman G kenal kopiah yang dipakai lelaki di atas sejadah. Malah kain pelikat dan baju Melayu merah yang dipakai lelaki tersebut juga Leman G kenal.

Itu aku!

Leman G; seorang belia tipikal yang terperangkap dalam mimpi - mimpi lalu. Kotor, jijik dan hidup berbekalkan pahala - pahala lampau.

Tuesday, January 12, 2010

Mimpi Penari Bogel

Fatty bermimpi lagi malam ini. Berulang-ulang mimpinya, sampai berpeluh lebat bila bangkit, macam baru lepas orgasme. Dan dia akan terbaring menghadap syiling, kipas berpusing, bilik gelap tanpa cahaya,tidak boleh tutup mata dan nyenyak kembali.

Dalam mimpinya semuanya jelas dan terang. Semuanya dirasakan benar-benar wujud, dan bila bangun dia dalam posisi terakhir menyebabkan dia terjaga. Kalau tengah mengangkang, begitulah dia bangkit dengan kedua belah kaki terangkat ke atas. Kalau tengah berpusing di tiang besi, dengan sebelah kaki memaut batang besi, begitulah dia bangun, sebelah kakinya memeluk kemas bantal peluk panjangnya. Dia hairan, benar-benar tidak percaya. Tidak mungkin dia cintakan kerjanya sampai termimpi-mimpi. Logik nya kalau kerja polis, tak mungkin bermimpi memegang pistol dan bangun memegang pistol, atau doktor bermimpi membedah orang, takkan lah doktor itu bangun memegang skapel. Dia pasti kebarangkalian itu tidak wujud, kalaupun ada mesti orang itu tidak normal, sudah sampai tahap gila.
Dia berjumpa doktor, menerangkan masalah, doktor periksa tiada apa yang pelik, akhirnya cuma pesan ringkas, basuhlah kaki sebelum tidor. Sialan punya nasihat.

Kerja wujud dalam ruang sedar, bukan bawah sedar. Setiap hari kita berfikir tentang apa yang kita lakukan, proses pemikiran kerja tidak mungkin wujud dalam ruang bawah sedar. Penulis tidak akan mampu menulis sewaktu tidur, begitu juga pelukis, atau pemotong kayu atau pesawah. Cuma pemimpin boleh buat, tetapi dia bukan pemimpin, bukan ahli politik, kerja itu buat dia rasa jijik.

Dia membuka kembali ingatan, seolah membuka helai demi helai kertas dalam majalah. Semuanya dia ingat terang dan jelas. Sampai satu ketika, saat terjaga dia kabur adakah ruang gelap dalam bilik itu masih lagi mimpi. Lama-lama dia fikir, dia boleh jadi gila.

Dalam mimpi itu, Fatty bukan dalam pakaian kerjanya. Dia pakai kerudung putih, baju kurung putih dan sarung warna biru laut. Di kerudungnya, ada tanda nama 'Fatimah'. Namanya, baju sekolahnya. Cuma itu berbeza, yang lain semuanya sama, lampu yang berpusing di syiling kelab, lagu yang menggoda pinggulnya bergoyang dan bergesel dengan tiang besi, tangan kirinya yang meraba kawasan antara pehanya, tangan kanannya yang memegang dadanya. Rengkuhan nafas yang sengaja dikuatkan supaya lelaki-lelaki di depan mendengarnya. Dan waktu dia penjamkan mata pun waktu beraksi, dia masih dapat mendengar turun naik lelaki-lelaki pemberi tip di depannya. Dia ingat itu semua, cuma pakaiannya lain. Cuma pakaiannya. Uniform sekolah itu sudah lama dia campakkan entah ke mana, dia pasti tiada lagi dalam simpanan.

Itu yang membingungkan dia, uniform sekolah itu. Mengingatkan dia semasa naif dan suci, sebelum direnggut hormatnya.Sebelum Fatty wujud, yang ada hanya Fatimah gadis kota suci, sekarang Fatty gadis estet hina.

Dia bangun pergi ke bilik air, menghadap cermin, dipegangnya cermin, diteliti setiap lekuk wajahnya melalui cermin. Pintu bilik air tertutup perlahan-lahan, ada bunti krek krek krek, engselnya sudah berkarat. Tidak ada hantu di belakang, ju-on dan hantu semua sudah jadi bintang filem.

Di belakang pintu, ada uniform sekolah yang tergantung.

Dan Fatimah.



Sunday, January 10, 2010

mari manisku sayang

barangkali yang gelap itulah cahaya
terangnya sampai buta semua

setan-setan? malaikat-malaikat?
eskepisme borjus

hujan rintik
tika bibirmu ku elus
aku menyanyi untuk-
kau yang manis

Friday, January 8, 2010

pergi jahanam, kenangan manis.

kau tahu?
masa silam yang gelap
disuluh cahaya syurga pun
tiada terang

tika itu
setan - setan bergendang

sedang malaikat menghasut;
'ucap kalam tuhanmu!'

dan aku menari
berselang ratib.

Wednesday, January 6, 2010

Pesona Sore

Maghrib begitu memang jarang. Di atap langit ada garis - garis kuning. Lapis - lapis awan yang panjang, bergaul tona oren dan kelabu. Campuran warna begitu biasanya membentuk pemandangan berwarna haibrid. Sedikit kuning, oren dan seakan gelap.

Dan di tepi sudut berdiri seorang lelaki gay memandang langit. Semacam ada OST dendangan Foo Fighter berlagu. lari dan beritahu semua malaikat/ini mungkin mengambil masa sepanjang malam.../..lari dan beritahu semua malaikat yang semuanya, baik2 (belaka)..

Di situ, di bawah atap langit, lama lelaki gay tercegat. Manusia yang memakai pakaian sukan ketat-ketat semuanya sudah pulang. Seketika tadi, di sekitarnya penuh dengan aksi senamrobik dan akrobatik. Tua, muda dan kanak-kanak. Yang paling mengasyikkan mata ialah bila lintasnya sekumpulan perempuan berpeluh yang berlari - lari anak. Owh ya, sudah tentu sekali mereka memakai singlet, paling kurang pun baju fit yang ketat. Baru bersenam namanya. Tapi tidak untuk mata lelaki gay, dia (kan) adalah seorang gay, justeru mana mungkin melayan perempuan seksi.

Sekarang sepi, yang ada cuma lelaki gay, langit dan di depannya tasik sepelaung. Hidupnya memang begitu. Dalam kesibukan manusia, dia cipta ketenangan sendiri.

Mata lelaki gay masih ke atas. Sampai garis berwarna hilang, baru aku pulang! katanya. Ketika bayang tiga ekor burung terbang terbentuk di atas tasik, air berkocak. Ombak kecil beralun menyentuh kaki lelaki gay.

Sepi yang indah semakin kacau bila ombak tasik semakin galak menyentuh kaki. Kali ini perciknya sudah sampai ke lutut. Lelaki gay bertapak ke belakang. Selangkah. Pelik.

Dari kocak air dan alun ombak, buih - buih berasap membuak ke permukaan. Semakin berbuih. Semakin berasap. Lelaki gay terpana. Pesona maghrib sudah lenyap sama sekali.

Di hadapannya satu susuk yang semakin jelas. Ya, susuk tua. Ngeri. Busuk. Di lengan susuk tua keluar nanah merah. Di dada susuk tua berbulu kerinting.

Lelaki gay kaku. Gigi kuning berkarat betul-betul bertentang seinci dengan batang hidungnya. Tengik yang amat.

Kau siapa? - susuk tua bersuara garau.

Mail! dan kau? - lelaki gay jawab dan bertanya set yang sama.

Aku ialah masa silam kau! - balas susuk tua, air liur terpercik ke muka.

Lalu sahaja lelaki gay berlari pulang dalam kekejangan otak. Sampai di bilik, pintu di kunci serapat mungkin. Novel - novel inggeris berselerak di bucu. Kaca mata di lempar ke tepi katil. Dia terbaring di tilam kusam.

Tahun akan berakhir sebentar lagi, dia masih mengadap dinding. Dan nanti, gerhana bulan.

Sunday, January 3, 2010

Tepat 12 malam, jarum jam bertukar jadi soldadu masa

Malam tahun baru, Mail sendiri. Berbaring diatas tilam kusam tanpa teman. Denting jam kedengaran dari jauh. dua belas kali semuanya.

Bilik Mail yang cerah tiba-tiba gelap. Bagus, malam tahun baru, blackout pula, fikir Mail. Dia melihat sekeliling dalam gelap, cuba menyesuaikan mata dengan kegelapan.

Jam dinding bulat jenama Quartz itu berubah bentuk. Mail menggosok mata berkali-kali, tidak percaya. Ilusi semata. Dia bangun mendekati. Benar jam bulat putih itu sudah berubah.

Jarum saatnya bertukar jadi Panglima, ketot sahaja orangnya, bermisai tebal, botak.
Jarum jamnya bertukar jadi Jeneral, tinggi gagah perkasa, berotot lengan dan dada, berambut putih.
Dan nombor jadi askar biasa- Leftenan, Mejar, dan Korporal.

Semuanya berpakaian putih seperti navy, dibezakan melalui pingat yang tergantung di atas baju, sebelah kiri dan kanan dada.

Seorang demi seorang melompat keluar daripada jam mengelilingi Mail yang terduduk ketakutan dalam kebingungan.

Mail terketar-ketar. Nafasnya turun naik, peluhnya memercik keluar. Dalam sunyi malam, dia dapat dengar dengup jantungnya sendiri yang bagai hendak pecah keluar.

Semua askar nombor itu menghunuskan pedang panjang ke arah Mail, dekat sekali sampai terasa ke urat leher.

Panglima ditemani jeneral mendekati Mail. Terasa nafas busuk Panglima itu di muka Mail.

'Apa yang kau lakukan sepanjang tahun lepas?' Bisiknya perlahan.