Monday, May 31, 2010

catatan-catatan hilang akal; yang langsung tidak bersifat lucu dan revolusi; lelaki biasa yang mahu jadi luar biasa

Selain kopi, penyakit ketagihan yang perlukan rawatan segera ialah rokok (masturbasi bukan ketagihan, saya sudah pastikan). Saya merokok berbatang-batang sehari, meningkat kalau ditambah tekanan kerja dan aktiviti-aktiviti yang memerlukan fikiran sentiasa bergerak. Merbahaya, bawa penyakit, tidak sayang nyawa; berikan apa alasan sekalipun, kalau saya sendiri tidak mahu berubah, rokok masih menjadi alat terpantas memendekkan nyawa. Biarlah putus nyawa kerja tuhan, saya tidak mengubah apa-apa, cuma memberikan alasan kepada keputusan nyawa nanti. (simpan sahaja tazkirah anda tentang ajal dan menjaga nyawa).

Sewaktu kecil , saya menyampah dengan orang merokok. Mungkin waktu itu, ibu selalu benar menyapukan bedak putih ke muka dan seluruh badan sebelum menyarungkan baju-berbau-wangi yang baru dibasuh. Asap rokok buat saya mahu muntah, malah boleh pening kepala kalau diletakkan lama-lama dengan penghisap, (sudah sama taraf dengan penghisap dadah dan ganja sampai diletakkan istilah 'penghisap rokok').

Tetapi meningkat dewasa, rokok jadi cool. Jadi alat untuk buat kawan, untuk masuk satu kumpulan yang kepala mereka selalu gila-gila dan idea pelik-pelik. Jadi, sejarahnya begitulah. Bermula tidak suka menjadi suka. Banyak perkara dalam dunia begitu bukan?

Maka, rokok macam cinta dalam hidup saya barangkali. Di sedut puas-puas rasanya dan puntungnya dibuang begitu sahaja. Cuma, mungkin dalam cinta, saya ialah rokok dan gadis-gadis itu ialah penghisapnya.


Monday, May 24, 2010

catatan - catatan hilang akal yang cuba bersifat lucu dan bukan revolusi; lelaki tipikal yang kadangkala mengucap 'pergi jahanam sama ideologi'

saya minum kopi lebih daripada 20 cawan sehari. ada kalanya angka itu meningkat. dan kadaran ini sedikit berkurang  andai aktiviti harian saya banyak dipenuhi dengan berjalan dan ke serata tempat. tabiat yang tidak saya ingati bila ia bermula dan bagaimana.

sewaktu kecil dahulu, saya punya persepsi nakal terhadap mereka yang meminum kopi, terutamanya yang panas(dan pada waktu siang hari ketika matahari masih galak di atas kepala). saya gelak sinis; gelak cara budak - budak kecil, adakalanya sehingga tergolek dan menahan senak perut melihat bibir manusia yang menghirup kopi ketika haba bumi tidak begitu mesra alam. bukan kerana gerak laku si peminum; tetapi kerana tabiat meminum kopi itu sendiri.

saya tidak pasti kenapa pada ketika itu (zaman kecil saya), saya melihat tabiat meminum kopi panas di siang hari seolah tabiat yang pelik (bodoh). Semacam tabiat berjalan - jalan sambil berbogel dan menari - nari di depan khalayak. Sehingga ke tahap itu. dan ia melucukan.

dewasa. kertas - kertas nota dan contengan saya banyak dicorakkan dengan percik hitam, bertambah jelas kesannya andai meja berselerak dan cawan kopi ditindih di atasnya. berselerak ;mahu mencari pensil dan pen pun, perlu membelek - belek. bukan, pemandangan begitu bukanlah memberi makna kapasiti kerja yang bertimbum. jelas; saya pemalas dan tidak tersusun orangnya. andai kena pada hari yang sempurna, baju saya juga ditandai dengan kopi. bintik hitam.

kopi tidak pernah menahan mata saya dari tertutup. mengarutlah barang siapa yang mendakwa kopi memungkinkan manusia berjaga. pada saya ia lebih, kepada faktor mental. andai diteguk sebalang kafein sekalipun, mengantuk tidak akan pernah dapat dikalahkan oleh aroma mahupun jisim kafein. ia lebih menepati; memenuhi tuntutan ketagih.

menghirup kopi kastanya barangkali sama seperti pelengkap 'merokok selepas makan.' badan rasa padu dan urat sedikit  lega. hirup yang pertama tidak akan sempurna tanpa terus sahaja diikuti hirup yang kedua. mesti. mesti berturut hirup yang pertama dan kedua. tanpa putus meletakkan cawan di meja mahupun dilepas dari tangan. lecur air liur tidak usah diperkatakan; semacam perempuan mengandung yang berminggu mengidam mangga muda lalu melihat selonggok tersusun di gerai tepi jalan sewaktu bersandar pada tempat duduk penumpang di kala suami memandu.

dan apabila meminum kopi adalah satu tabiat normal yang menghiasi norma hidup manusia sama seperti aktiviti membasuh pinggan mangkuk, menjemur baju, menonton epl mahupun bermain congkak; maka saya kira ia tidaklah begitu konkrit dan rendah tahap munasabah-nya untuk dimasukkan sebagai isi dalam salah satu sistem pesanan ringkas; yang bunyinya seakan mahu dijadikan alasan untuk pasangan manusia berpisah. atau; kalau bukan untuk dijadikan alasan sekalipun; masih tidak mampu dilogikkan oleh akal lelaki saya untuk diselitkan dalam teks. barangkali kerana perkara - perkara beginilah; terus menjadikan perempuan sebagai kejadian yang perlu dijelajahi tanpa rasa jemu dan putus asa.

cinta hati, terima kasih.

Friday, May 21, 2010

Cerita lelaki yang dihukum

saya tidak pasti sama ada saya masih layak untuk bicara soal sayang.

masih saya ingat. setahun lalu sewaktu dia menelefon awal pagi bertanya soal hati selepas dia; menyatakan isi hati. tika itu dalam fikiran saya ya, perempuan memang makhluk lembut yang dicipta tuhan dengan sifat berani. serak suara dan tenggelam timbul nafasnya membuatkan saya tenggelam dalam rasa. saya pedulikan getar hati yang bukan sejuk disebabkan dingin pagi, lalu memberikan kata jawab; ya. saya masih berselimut saat itu - sleeping bag biru yang dibeli sewaktu masih giat sebagai aktivis tegar alam sekitar yang tiap hujung minggu dipenuhi dengan menawan puncak - puncak gunung. matahari pagi dan unggun api yang dibasahi titis kabus memang benar-benar buat hati saya jadi mellow. umur sleeping bag yang diguna saya barangkali lebih kurang 3 atau 4 tahun sewaktu dia menelefon pagi itu. ada kesan terbakar api rokok di sisi sebelah kanan, dekat penutup kepala.

dan kemudian; anna pergi.

lalu saya ketepikan satu hal kemanusiaan yang ada pada diri dan hidup dengan hal - hal yang lain; memungkinkan saya kekal (masih) sebagai seorang manusia. takut kalau - kalau dihiraukan hal yang satu itu, barangkali kes anna berulang.

dan ya; kes anna berulang.

tuhan cipta dia; cinta hati hadir sebagai memenuhi tuntutan catatan pada daun sebatang pohon di luh mahfuz. orang katanya sebagai - takdir. dan dia masih bertanya ; 'saya tidak faham kenapa tuhan wujudkan pertemuan antara saya dan awak'. takdir-lah. saya jawabnya di dalam daging hati.

saya berikan (sekali lagi) kata jawab; ya, ketika dia (cinta hati) bertanya soal hati. tika itu dalam fikiran (sekali lagi) saya ya, perempuan memang makhluk lembut yang dicipta tuhan dengan sifat berani. tempoh ini; adalah  tempoh yang tuhan berikan saya ruang untuk melihat sisi syurga dunia. meraikan keperempuanan yang ada pada perempuan bukanlah peluang yang selalu hadir dan kita bisa berasa asyik dengan rengek dan  lenggok bahasanya. saya masih merindukan halus nadanya di hujung talian tatkala berhubung; walau jarang. seingat saya, saya berbogel di depannya. bercerita kisah - kisah yang tidak pernah saya kongsikan dengan manusia lain. dan saya melawan arus; kejaguhan lelaki semasa tempoh berkenal-kenalan yang mahu kelihatan sempurna pada mata si gadis; tidak pernah sama sekali saya praktiskan. saya dimakan dan dikunyah hingga lumat oleh realisme yang saya anuti, melenyapkan sama sekali bukti - bukti perasaan kasih dan sayang saya pada dia.

dan kemudian; cinta hati saya pergi.

saya; lelaki yang dihukum kerana ucap kata dan tulisan. bisa buat hati perempuan ghairah dan akhirnya berlalu pergi. berdosa?

Saturday, May 15, 2010

cerita lelaki yang kehilangan masa dalam kelipan mata

ada seorang lelaki yang diam di kaki ombak. tidak sedar bila masanya buih meninggalkan pantai, tenggelam dalam resah pasir yang sentiasa berubah. dia meraba muka sendiri, tegang muda kulit sudah lama hilang, diganti kedut-kedut awal usia.

dia, lelaki yang kehilangan masa dalam tidur semalam.

kerana ketika usia mudanya, dia diminta belajar dan belajar dalam kotak-kotak ilmu tanpa keterbukaan. dia lupa bahawa universiti terhebat ialah landskap dan manusia sekeliling, bukan kotak-kotak bangunan atas bukit, dipagari oleh manusia bermisai-berbaju biru uniform yang pantang sekali jika dia mahu menikmati dunia luar. dia membesar dengan pengalaman orang lain yang disumbat menjadi madah suara yang dipetik-petik. kosong.

dia, lelaki yang selalu alpa bahawa cinta itu halangannya masa.

di waktu ketika dia mahu bercinta. ada seorang gadis yang menakluk hatinya. bermula gurauan dalam kelas, dia sungguh tidak menyangka semuanya akan memberikan impak terhebat dalam dirinya. bila dia meninggalkan gadis itu yang terduduk menangis di tepi tasik, yang dia minta cuma masa untuk kembali. tapi, cintanya kalah menentang masa. sesekali bila dia lalu tempat tumpahnya air mata, ada bayang gadis itu melambai-lambai. merentap jiwanya sungguh-sungguh. dan dia bercinta lagi, dan bercinta lagi. tapi gadis pertama itu sentiasa datang kembali,. dengan bayang bahagia bersama lelaki lain di seberang sana. dan ketika itu jugalah, dia memutuskan bahawa cinta sudah pergi bersama masa. yang dia keciciran sewaktu mengejar cita.

dia, lelaki yang selalu tertikam dengan masa

di waktu-waktu sendiri. ada kesunyian membanjiri dirinya. sehingga dia lumpuh mahu bangkit kembali.