Friday, December 25, 2009

Jiwa ialah Pemburu Kesepian : Versi Pendosa


Jiwa adalah seorang lelaki pendosa. Setiap hari ada sahaja dosa yang melekat pada kitab kiri yang digalas. Setiap hembus nafas dan alir darah yang bergerak mudah sahaja menghasilkan sumber dosa kepada Jiwa. Dan dosa yang paling besar pernah Jiwa lakukan ialah melawan takdir Tuhan.

Takdir Tuhan mencipta perempuan kepada lelaki.

Jiwa selalu sahaja melawan struktur kosmos yang diterima pakai semua lelaki lain. Stereotaipnya lelaki lain ini percaya bahawa perempuan adalah ciptaan agung yang perlu dihargai. Perempuan adalah insan yang perlu dibenih dengan nilai kasih dan disubur dangan ungkap sayang. Perempuan adalah lembut dan halus perasaannya. Begitu fahaman lelaki lain terhadap perempuan. Namun dalam fahaman ortodok lelaki lain terhadap perempuan, tidak ada satupun perilaku realiti yang berlangsung adalah sejajar dengan fahaman mereka.

Perempuan tidak ubah seperti alat yang diguna atas nama cinta.

Jiwa mengesan realiti yang berlaku. Kenyataan yang sungguh menyakitkan. Lelaki lain itu semuanya jahanam. Mengaku hati terisi dengan cinta dan kasih terhadap perempuan, walhal melayan perempuan tidak lebih sekadar alat. Kadangkala sebagai pemuas. Semuanya dialas atas nama cinta. Dan perempuan itu sifatnya mudah - meleleh kepada keindahan kata cinta yang dibawa, naif.

Mulianya lelaki pendosa bernama Jiwa. Mulia?

Dek kerana Jiwa percaya, yang perempuan adalah ciptaan agung dan terlalu suci untuk digandingkan dengan sang lelaki, maka Jiwa percaya, perempuan perlu dijauhi dari lelaki. Terutama yang suka melakukan dosa - sepertinya.

Jiwa rela. Rela hidup berteman sepi. Jiwa mahu mengekalkan perempuan pada definisi fitrah yang mengangkat perempuan sebagai ciptaan agung, bukan untuk dipermain.

(epilog selepas dua hari)

Hadirnya manusia pendosa seperti Jiwa yang percaya betapa cinta itu suci, akan merosakkan takrifan perempuan sebagai ciptaan agung. Tiada apa yang lebih hina berbanding mengheret ciptaan Penghuni Langit ke lembah yang penuh dengan nikmat dosa. Jiwa percaya, punahnya perempuan adalah kerana lelaki. Pendirian yang menyongsang ini dicabar saat Jiwa dihantar dengan jelmaan perempuan sempurna. Saat di mana malam dan siang Jiwa tiada putus dari terlintas di setiap garis darah yang membentuk rohnya terhadap perempuan sempurna. Pedih. Namun Jiwa, adalah lelaki pendosa yang hidup untuk menyelamatkan perempuan dengan mengelak pujukan cinta.


Wednesday, December 23, 2009

Jiwa ialah Pemburu Kesepian: Versi Awal


Dalam satu daerah mungkir, ada seorang lelaki bernama Jiwa. Kerjanya ialah pemburu kesepian. Tugasnya mudah, hanya mencari cinta untuk pelanggan. Dia menilik dalam bola kristal merah darah, dan akan diberitahu kepada mereka yang datang. Siapa pasangan mereka? Di mana akan bertemu? dan sebagainya. Pelanggan-pelanggan itu akan balik tersenyum puas, keyakinan bahawa satu hari nanti, di tempat dan masa dikatakan oleh Jiwa mereka akan bertemu kebahagian.


Cuma mereka yang datang tidak tahu, saat mereka balik. Jiwa akan melihat lebih jauh perjalanan hidup pelanggannya. Melihat selepas saat mereka semua berjumpa, bagaimana cinta melukakan mereka, kejadian-kejadian selepas jatuh hati yang menyesakkan, sehingga lah selepas berkahwin, bagaimana setiap seorang daripada mereka-lelaki dan wanita- berpura-pura dalam diam, menyimpan rahsia masing-masing erat. Dan jiwa menyaksikan mereka semua masih bersama walau sudah tiada cinta dalam hidup.


Tidak, Jiwa tidak menipu. Dia cuma memberitahu apa yang mahu didengari. Bahagia dan harapan. Bukan luka dan sengsara. Itu tugasnya, memberi realiti indah. Walau keindahan adalah absurd, itu yang mahu dicari.


Satu hari ada seorang wanita datang. Berkurung hijau, bundar matanya, cukup sempurna sebagai wanita, sehingga tiada kata-kata boleh digunakan untuk menggambarkannya. Perkataan apa yang mahu kau guna untuk menggambarkan wanita yang sempurna? Cantik, menawan, indah, bidadari, engel, jelita semuanya sudah klise. Wanita sempurna tidak boleh dilambangkan dengan apa-apa, sebagaimana perasaan yang dibawanya tidak boleh diteka jenisnya. Wanita ini sempurna fikir Jiwa, dalam ketidaksempurnaan hidup.


Jiwa memegang bola kristal merah darah, tiba-tiba ia bersinar terang, warna perak. Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Jiwa hairan, Jiwa pelik. Dalam kilauan itu, dia melihat dirinya bersama wanita itu. Dan ada anak kecil, di sebuah rumah kecil tepi pantai. Semuanya indah, rasanya bahagia.


Dia katakan pada wanita sempurna itu, dia tidak akan berjumpa sesiapa pun untuk seumur hidupnya. Dan wanita itu berlalu muram sekali, ada air mata yang menitis sewaktu dia berpaling melihat Jiwa sebelum pergi.


Jiwa terus menilik, tetapi tiada sengsara, tiada derita, cuma bahagia dan cinta.


Tidak mungkin! Tiada kebahagian sempurna! Tiada Kebarangkalian!


Apalagi wanita untuknya, tidak mungkin akan terjadi.


Dia ialah Pemburu Kesepian. Tidak mungkin temu cinta.


Kerana dia hanya akan temui sepi dalam kerjanya, dalam setiap tilikan yang dibuat, dia menemui sepi dalam cinta orang lain. Mustahil benar dia serempak cinta dalam cinta untuk diri sendiri.


Itu adalah pengkhianatan paling agung yang boleh dilakukan untuk orang sepertinya.


Jiwa membiarkan gadis sempurna itu berlalu pergi, seperti mana dia membiarkan cintanya berlalu pergi, seperti air yang mengalir antara celahan jari.



Tetapi kenapa dia merasa pedih? Bukankah dia sudah biasa dengan kesepian? Kenapa dengan satu angan bahagia yang hadir selintas lalu mengoncang ruang sepi yang sudah diam dalam diri beradab lamanya?

Tuesday, December 22, 2009

Semua Sesat, Hanya Kami Benar : Percaturan Kompleks Rejim Kebenaran

Maka semuanya semakin bersuluh. Penjaga Pintu Kebenaran punya rahsia yang disorok dari penglihatan marhaen. Rahsia Kebenaran! Segala apa yang dihidang dan disuap adalah batil - ya, kebatilan yang dibalut dengan terma kebenaran. Semuanya percaturan. Dan ada sesetengah percaturan terlalu kompleks sehingga menimbulkan konflik.

Sewaktu masa dulu, sebelum tibanya Hari Penghakiman, sebelum tercalit digit Satu di dahi, TeeGandhi adalah marhaen yang konfius. Perlu diingat, rakyat di sebidang tanah semuanya naif - naif dan buta kayu. Tatkala Penjaga Pintu Kebenaran mengisytiharkan semua mereka yang berpayung di sebidang tanah adalah 1Bangsa, semua marhaen bersorak. Tatkala Penjaga Pintu Kebenaran menyebut 1Empayar, semua marhaen berteriak gembira. TeeGandhi yang punya kelebihan berfikir yang lebih sedikit berbanding marhaen yang lain seraya berkata "..Andai begitu konsep dan pembawaan kita di sebidang tanah, maka kita semua sama, ekual, hapuskan keistimewaan yang mewujudkan batas perbezaan..andai mahu diangkat sebagai yang istimewa, maka semua perlu diangkat"

Sejurus tersebut ungkapan daripada TeeGandhi, penjilat - penjilat Penjaga Pintu Kebenaran yang menjunjung kronisme dan hidup atas nama pejuang submarhaen bangkit dan meratib "..Mana mungkin begitu! kami dulu yang jumpa tanah ini, maka kami tuan, masih perlu hormat kami! " TeeGandhi bertambah konfius. Yang diajar kepadanya andai disebut perkataan Satu (1), maka satulah - bersatu. Apa perlunya lagi dibeza - bezakan. TeeGandhi konfius. Marhaen yang lain yang sememangnya naif - naif dan buta kayu lagilah konfius, namun masih mengangguk tanda setuju.

Sunday, December 20, 2009

Semua Sesat, Hanya Kami Benar: Jilat Bukan Sebarang Jilat

Monolog Penolong Penjaga Pintu Kebenaran bagi pihak Penjaga Pintu Kebenaran.

Jilat bukan sebarang jilat. Ini jilat berseni bertingkah kuasa. Kata di adun jadi pujian, maki di adun jadi sindiran. Jilat bukan sebarang jilat. Ini kisah penjilat agung.

Keadilan cuma jargon. yang wujud dalam teks-teks yang Penjaga Pintu Kebenaran simpan rapi dalam almari hitam berkebuk debu.

Kerja Penolong Penjaga Pintu Kebenaran sukar. Kau ingat senang mahu menjilat?

Banyak cakap tentang semua. Kau tahu sukarnya mahu jaga kebenaran.

Masyarakat perlu disusun. Order itu penting. Kacau bilau bukan pilihan.

Apa yang lebih penting?

Makan, harta, hidup tersusun atau pandangan idealistik yang kau pegang?

Hidup tidak mudah, jangan jadikan ia bertambah sukar.


Dan dia meneruskan kerja menghukum dan menjujung kebenaran.

Semua Sesat, Hanya Kami Benar : Kebenaran Bukan Hakikat

Setiap yang benar
betapa ditekan
tetap menjalar,
tanpa dibaja,
kan tetap mekar,
tanpa udara pun
kan tetap segar.
-orangtua, 1973-

seorang tua beritahu ini kepada khalayak. Maka khalayak hidup dengan penuh angan-angan. semuanya filosofi. Percaya bahawasanya kebenaran adalah suci dan gah, akan tetap hidup.

Tapi tidak di sebidang tanah. Yang ketuanya bukan Tuhan. Tapi diangkat lebih sedikit dengan nama - Penjaga Pintu Kebenaran. Sebidang tanah itu, rakyatnya naif. Hobi mereka satu - suka menjilat. Mana - mana rakyat yang hobinya selain daripada menjilat - akan ditangkap.

"Kebenaran adalah apa yang dihidangkan, sehingga membentuk kepercayaan "

Rakyat naif begitu. Kebenaran adalah apa yang mereka lihat dan dengar. Bukan hakikat.

Friday, December 18, 2009

Semua Sesat, Hanya Kami Benar: Versi Benar


Kebenaran bukan relatif, yang benar tetap benar, salah sampai bila-bila pun satu kesalahan. Perlukan hukuman, perlu kepada tindakan. Kebenaran bukan perspektif, ia hakikat. Duduk dari mana pun sudut pandangan Kau, kebenaran sentiasa satu.

Penjaga Pintu Kebenaran mundar-mandir. Di depannya sekumpulan manusia yang digari kaki dan tangannya, mulut mereka disumbat kain putih, kain kebenaran. Dahi mereka di dicalit dengan cat hitam, tanda pesalah. Semua mereka diberikan nombor.

“Pesalah Satu, bangun!” Penolong 1 Penjaga Pintu Kebenaran mengherdik keras.

Pesalah yang ditandai 1 bangkit, seperti semua dia di sumbat mulutnya, kaki dan tangannya bergari.

“Kesalahan mempertikaikan soal ketuanan. Sudahlah pendatang, merempat, mahu bersoal-soal tentang hak!” Suara Penjaga Pintu Kebenaran keras dan lantang.

“ Hukumannya ialah, mulutmu akan dilecurkan dengan api panas. Kaki dan tangan dipotong!” Hukuman dijatuhkan, tanpa soal, tanpa bela diri.

“Pesalah Dua, bangun!”

“Kesalahan memberikan pandangan lain tentang soal ibadah, isu gaya hidup. Sudahlah sesat, agama bukan tempat untuk berlainan pendapat. Semuanya sudah jelas dan terang!”

“Hukumannya ialah kepala mu akan dibedah, otak dikeluarkan dan kau akan hidup tanpa akal dan fikiran!”

“Pesalah Tiga, bangun!”

“Kesalahan ialah hidup tidak seperti biasa.Tidak normal. Manusia dilahirkan untuk hidup, bekerja, dan mati. Bukan bermalasan sepanjang hari dan mencabar semua perkara! Penulis dan Ahli Falsafah bukan pekerjaan!”

“Hukumannya ialah kamu akan dihantar ke kem pemulihan minda dan fizikal. Kamu perlu disucikan supaya berguna kepada masyarakat! Jika tidak berkesan, kamu akan dibuang ke Daerah Haiwan!”

Dan begitulah seterusnya Penjaga Pintu Kebenaran dan konco-konconya menjatuhkan hukuman dan menghakimi pesalah.

Kebenaran cuma satu. Tidak berubah-ubah. Tidak ada perspektif.

Kami ialah Kebenaran.

Uda dan Dara IV: Ambiguiti lelaki pada se-mangkuk cendol

Semangkuk cendol dan uda banyak persamaan. Tiada banyak warna, Cuma cendol hijau dan kacang merah, mungkin sedikit pulut di adun dengan santan dan ais kepal. Muram, sukar diteka dan di ramal, sehingga kau masukkan sedikit ke mulutmu, kau tidak mungkin tahu darjah sedapnya. Misteri yang asyik.

“…makcik, bagikan saya cendol satu! gula hitam lebih!”

Uda bagaikan semangkuk cendol. Yang nampak putih dengan secalit gula hitam. Dingin juga tetapi berlemak dan manis sekali. Kadang kala tersangat lemak sehingga memualkan, tersangat manis sehingga menjemukan.

Lelaki begitu sifatnya. Misteri dan berlebih-lebih. Sukar ditelah dan diramal. Kadang jemu, kadang asyik.

Bila tiba masanya, Dara tenggelam dalam misteri dan hanyut dalam jalinan keraguan dan kesetiaan. Dara tenggelam dalam semangkuk cendol, seperti eratnya Uda dalam pelukannya setiap malam.

Uda dan Dara III : ambiguiti perempuan pada se-mangkuk ABC

Dara bagaikan sebuah mangkuk ABC, yang di sekelilingnya ditabur kacang. berwarna warni. beraneka. dan indah dengan rasa - rasa yang sedap. sesiapa yang lalu dan melihat pasti berkata "..makcik, bagikan saya ABC satu! susu lebih! "

Dara bagaikan sebuah mangkuk ABC, yang kekal cantik dengan gunung ais - luarnya yang sedap, lembut, indah, berwarna dan beraneka punya kontra dengan dalamnya ; dingin. ya, di dalamnya cuma ada dingin. kadangkala tersangat dingin.

perempuan begitu sifatnya. kerana itu sampai tika ini Uda tidak rela menjahanamkan hidupnya dengan tenggelam dalam mangkuk ABC. jahanam!

cuma ada masanya, kehendak zaman dewasa membuatkan Uda tertarik dengan rasa - rasa sedap. demi rasa - rasa sedap, Uda perlu tenggelam dalam mangkuk ABC. tenggelam melayan dingin.

Wednesday, December 16, 2009

Uda dan Dara II : versi pop separa fiksi


6.03 pagi, sujud terakhir Uda sangat lama. biasa begitu. sejuk subuh dan hangat selimut tidak pernah mematikan terus lena tidurnya. tambah-tambah di tempat yang Uda diami sekarang. terima kasih kepada abah. kalau tidak kerana rotan sewaktu Uda masih mengenal alif ba dan ta, mungkin hari ini niat mandi wajib pun uda perlu baca teks.


kata uda "ya Rahim, andai Kau takdirkan cinta adalah hak setiap hambaMu, maka Kau temukan hak aku - temukan aku dengan perempuan. takdirkan aku dengan yang solehah". lalu sahaja jauh di hulu hati, imej Miyabi di sofa terbayang. dan setiap kali doa dikirim ke langit, nama Siti Aisyah mahupun Siti Asiah jarang terlintas. Miyabi lebih dominan.


maka Uda tahu, tuntutan sarakah adalah klimaks kepada takrifan cinta suci yang dia faham. yang dia diajar, 'cinta itu manis, ikhlas dan tulus'. -uda 16dis09-


7.31 pagi, sejadah terlipat di bucu katil. seketika kemudian, brekfes di ruang beranda tepi cerun, Uda cicah strawberi dengan coklat. semalam lagi menu begitu dirancang. 'borjuis' katanya. embun masih berterabur membentuk atmosfera pagi yang redup. dingin. di bawah cerun kaki bukit, tiga orang bangla sedang kutip daun teh. uda biarkan matanya hanyut di celah lereng dan fikirannya los di balik embun. damai.


"sori. .. maaf.... ... .. ada gula? saya pemanis orangnya". wetres yang lalu di pinggir meja disapa Uda. wetres menoleh seraya tersenyum melihat tiga peket kecil berlabel sugar sudah pun terbuka dan kosong isinya di tepi cawan. "..ada encik.." wetres membalas. senyum lagi. Uda senyum kembali. wetres datang membawa dua peket sugar dan diletakkan di tepi cawan. wetres tunduk hormat. Uda senyum kembali, "terima kasih". dan kopi panas dikacau Uda dengan sudu kecil.


2.59 petang, udara Cameron masih kabus. Uda seorang di tengah manusia ramai. sebuah famili di dalam kedai bunga berborak mesra. tiga jambak bunga ros dibalut dengan kertas Utusan Malaysia. ada perkataan besar 1Malaysia di kertas pembalut, muka kaum pemodal di tepi. seronok bershoping. Uda pula seronok melihat gelagat. Uda damai mengikut rentak kaki depan deretan kedai.


12.27 tengah malam, tivi di bilik 603 bercerita riang. tele-drama Nur Kasih yang diulang tayang rancak berputar. Uda sesak. dadanya berat. kakinya hangat. Uda berpeluh dalam suhu airkon. dan di atas Uda, ada seorang perempuan. "nama saya Dara". balas perempuan-di-atas-Uda pukul 7.54 pagi tadi, sebelum Uda tinggalkan kofihaus.


baju seragam wetres bersepah di tepi katil, depan pintu, atas tivi. ada coli hitam tepi lampu meja. sejadah sudah terjatuh ke sisi katil. lipatan pukul 7.31 pagi berkedut.


.....


[anekdot]


'cintailah perempuan kerana tuhan'. ungkapan paling mengarut sepanjang hidup Uda. abah selalu titipkan kata itu ke telinga bila uda mula menginjak dewasa. apa - apa jua, hatta dalam bercinta, bercintalah kerana tuhan. bulshit maderfaker. dogma ini utopia. "aku realist", bisik Uda. walau hakikatnya memang perlu begitu. apa-apa jua perlu 'kerana tuhan'. sekali lagi... maderfaker.


Uda teringatkan abah. ditepinya ada Dara keletihan. dan embun malam makin rancak...

Uda dan Dara I


Uda berjumpa Dara di gig. Dara sedang asyik menggoyangkan tubuhnya selari dengan musik yang membingitkan waktu Uda melihatnya. Titis-titis peluh mula menitis dari dahi jatuh ke leher jinjang dan kemudiannya berlari menyelesuri setiap lekuk tulang dan isi yang menghilang dalam lurah dada Dara yang melepak putihnya. Uda merasa ada berahi yang menggasak jantannya, dan dia perlahan-lahan mendekatkan dirinya kepada Dara.

Taktala Dara melihat Uda mendekatinya, dia sudah dilanda nafsu yang memuncak. Susuk tubuh jantan Uda yang kekar itu tambah-tambah menaikkan nafsunya. Sengaja pula dia menggeselkan lagi tubuhnya makin dekat ke arah Uda. Dan mereka sama-sama bergesel dan bersentuhan tanpa kenal nama, hanya kenal nafsu.

Selepas konsert tamat, mereka sudah jadi belangkas yang tidak dapat dipisahkan. Masing-masing ingin bersatu dalam nikmat jahanam dunia.

‘Nama kau?’

‘Dara’

‘Dara? Yang dibawah juga?’

‘Tidak. Itu sudah lama janda’

Dan Uda terkekek gelak. Tangannnya merentap pakaian Dara, dan dia menggomol tubuh Dara lembut.

Maka, hari-hari berikutnya. Uda dan Dara sudah jadi pasangan yang tidak dapat dipisahkan. Mereka percaya Tuhan temukan mereka dengan bahagia. Mereka mahu percaya dalam setiap resah, rengek dan jerit puas mereka, tiada apa yang dapat memisahkan mereka.

‘ Kau cintakan aku Uda?’ soal Dara satu malam selepas buat kesekian kalinya mereka lempiaskan nafsu menjadi rintik peluh dan rengekan nakal. Dari dalam bilik kecil yang hanya ada tilam dan almari pakaian plastik itu, Dara mahukan kepastian. Kepastian cinta yang bagai remang lampu dalam gelap pekat.

‘Pasti. Aku cintakan kau’ Jawab Uda pada tanya Dara. Yakin dan tegas.

‘Bagaimana cinta kau terhadap aku?’ soal Dara lanjut, dan dia memeluk tubuh Uda dan meletakkan kepalanya di atas dada lelaki miliknya itu. Dia dengar teliti ada dengup jantung yang deras, dan itu menenangkan dia.

‘Bagaimana apa?’ Uda tidak faham. Bingung barangkali, dilahirkan jadi lelaki, dia seringkali gagal menduga kemahuan wanita dan soal cinta.

‘Iya,apa kau sanggup berkorban untuk aku? Sanggup kau kahwini aku? Dara yang sudah hilang daranya’ Balas Dara bersungguh.

‘Untuk apa kahwin, kalau kita boleh bahagia begini? Kahwin menyusahkan, belanjanya banyak.’ jawab Uda lembut.

‘Kau buat aku bertambah cintakan kau’ Dan Dara mencium lembut bibir Uda.

‘Cuma kau perlu selalu beritahu aku bahawa kau cintakan aku’ Dara menyambung sambil memandang tepat muka Uda.

Uda lihat ada sunyi dalam pandangan Dara. Dia menyentuh anak rambut Dara yang berselerak, dia mengusap lembut wajah Dara yang sejak beberapa minggu ini menjadi teman setianya.

‘Aku akan sentiasa ucapkan. Pagi, petang, siang , malam. Setiap kali aku rindu. Setiap kali aku gersang. Aku akan ucapkan. Dari mulut dan dari hati’ Ujar Uda tegas. Dia mahu menyakinkan wanita miliknya ini. Wanita dilahirkan untuk sengsara, kerana itu mereka perlukan pengisytiharan cinta berkali-kali, dia teringat Bukowski ucapkan itu.