Monday, February 8, 2010

Kisah Dia: Dan Beluncas Komuter

'Bagaimana?'

'Bagaimana apa?'

'Bagaimana mahu memberitahu?'

KL Sentral semakin sesak, terperuk di ruang bawah tanah dengan ribuan manusia, buat saya tidak keruan. Bau busuk manusia-manusia yang baru pulang bekerja di ladang kapitalist dan muka-muka tidak bermaya mereka, buat saya mahu muntah. Lelaki di sebelah saya masih menunggu jawapan. Komuter ke Pelabuhan Klang tiba, saya biarkan sahaja manusia lain memenuhi ruang gerabak, dan menarik bahu lelaki disebelah bila dia mahu ikut serta.

'Kita tunggu yang lain. Sesak sangat yang ini'

Kelip lampu di papan tanda pemberitahuan tentang masa perjalanan komuter seolah tidak berguna. Sentiasa lambat dan tidak pernah tepat masanya.

'Beritahu tentang rasa, bukannya rasional' ujar saya ringkas.

'Maksudnya?'

'Kalau mahu ucapkan gudlak, ucapkan sahaja. Kalau hati kau yang memberitahu gudlak sewajarnya diucapkan dengan simbolism ideologi, tuliskan saja. Kalau gudlak itu ada dalam bait-bait puisi, berikan puisi. Semuanya bisa saja, asalkan biar hati bicara, bukan dari akal yang berfikir'

'Huh. Saya tak biasa bercinta' lelaki yang berdarah raja itu membuat muka jelek.

' Siapa yang biasa? Semuanya tidak pernah sama. Gadis pertama atau terakhir, semuanya tidak pernah sama, semuanya tidak biasa'. Saya mengigit bibir, nafsu merokok muncul kembali. Saya seluk poket dan keluarkan gula-gula, dan biarkan manis gula mengantikan pahit nikotin.

' Macam komuter, yang kita lepaskan tadi tak mungkin sama dengan yang akan tiba. Gerabaknya, usianya, pemandunya, malah penumpangnya'. Saya pandang sekeliling. Dia juga mengikut. Buku di tangan kanan di biarkan tidak dibaca. Bila berjumpa dengan orang yang kita mahu berbual, buku jadi entiti asing sementara. Cuma, jarang sekali ia berlaku. Dengan lelaki ini antara pengecualian.

'Kau lihat papan tanda tu'. Saya arahkan jari ke situ, dia melihat sama.

'Waktunya sama macam cinta. Kita rasa pada masa-masa yang ditetapkan, komuter akan tiba. Tapi mungkin lambat, dan mungkin awal dari yang dijadualkan. Cinta juga, kita tetapkan masa untuk tiba. Setelah tamat sekolah, setelah bekerja, setelah berjumpa orang yang kita mahu. Tapi selalunya tidak pernah seperti yang dirancang'. Saya menghembus nafas, memandang sekumpulan anak muda yang mengheret beg besar. Lelaki itu hanya menunduk bawah.

'Bila komuter sampai, ada ketikanya kita memilih untuk melepaskan. Sesak sangat, tidak mahu berebut dan macam-macam alasan. Mahu menunggu yang seterusnya. Tapi mungkin yang akan tiba juga sesak, atau terlambat, atau bila kita naik, rosak di tengah jalan, atau tergelincir landasan'

Komuter seterusnya tiba, kami masuk, berdiri di antara ruang duduk, memegang erat tiang di atas kepala untuk elak dari gelincir.

'Semuanya berkemungkinan. Instrument hidup penuh kebarangkalian. Cinta juga begitu. Masa, tempat dan pilihan tidak sesekali hapuskan rasa'

Saya terhenti setakat itu, kebanyakan perbualan selepasnya hanya lah berkisar tentang perkara-perkara yang punya banyak pilihan dan tidak menjerut rasa. Berbisik-bisik dan merendahkan suara, kami seolah pasangan gay yang sedang cuba menyembunyikan perhubungan. Sialan! Ada mata-mata manusia memandang curiga.

Sampai di Stesyen Padang Rawa, saya keluar. Jejakkan kaki di platform dan memandang gerabak yang semacam beluncas bergerak perlahan membawa lelaki itu ke destinasinya. Jauh bergerak menuju horizon untuk bertukar jadi kupu-kupu besi yang indah; lambat lagi, lambat lagi, saya mengomel sendiri.

Menuju ke kereta yang di parkir di situ, bahu saya dipegang lembut. Saya tarik nafas dalam.

Saya kenal sentuhan ini. Walau hanya mimpi dan dari jauh melihat kamu. Saya tahu bagaimana rasanya disentuh kamu. Berpaling, saya melihat kamu tidak berubah sejak kali pertama saya lihat.

Kamu senyum nipis, melalui cermin mata, ada rasa yang tembus ke dunia realiti. Baju kurung merah hati dan tudung hitam, pakaian yang kamu pakai kali pertama saya lihat kamu di perhentian bas depan rumah.

'Kemana menghilang?'

4 comments:

  1. Penceritaan implisit. Ada seribu liku

    ReplyDelete
  2. comel. cuma sabar menunggu akan membuah kan hasil yang baik. bukan tangkap muat.

    ReplyDelete
  3. sabar menunggu...
    adakalanya kta perlu mengejar utk mendptkn sesuatu.

    ReplyDelete