Thursday, April 29, 2010

Kisah cinta yang kaum ayah ceritakan selepas kaum ibu berikan dongengan; keduanya melelapkan si anak bila malam menjelma

satu hari dia berjumpa dengan bidadari yang memberikannya cinta. dia tidak pernah bermimpi, dalam hayatnya yang penuh noda dan selalu sendiri, ada cinta yang dijatuhkan dari Arash untuknya. dia berjanji tidak akan memberikan sebab untuk air mata jatuh daripada mata hening bidadari. tetapi akhirnya, dia menyebabkan juga bidadari menangis di satu petang. dia menyimpul resah dan sesal dalam lafaz cintanya, berdoa supaya anugerah suaranya ditarik kembali, supaya kata-kata tidak lagi menikam hati halus bidadarinya. saat dia menadah tangan berdoa kepada Esa, muncul tok kebayan memberikan kata-kata hikmah, walau lebihnya banyak kepada leteran dan khutbah.

Dia, pencinta setia dalam kesat bahasa dan kasar gurauan. Takdirnya dia manusia. Bukan enjel bersayap putih atau ifrit bertanduk dua. manusia yang dicipta menjadi penghubung dualiti , yang dalamnya ada bilah-bilah sayap enjel yang terjatuh, dan tanduk ifrit yang baru menumbuh. kerana itu, manusia punya syurga dan neraka. dosa dan keampunan, pahala dan ganjaran. semuanya bertelingkah sesama sendiri dalam tubuh yang dia diami.

dongeng sekadar dongeng. Jalinkan dengan magis realiti dan absurd takdir, bak pil-pil yang kita telan dengan wiski. bodoh.

‘cinta’ bahasa universal manusia, yang kerangkanya dicipta oleh bahasa, entah purinya ke mana.

hujan malam yang menitis perlahan-lahan, dalam aspal enjin bergerak pantas, titisnya jatuh. kenapa tidak pernah bertanya, kenapa asalnya atas ke bawah? atau sebenar-benarnya pertanyaan yang wajar timbul ; berapa kali air berputar dari atas ke bawah dan ke atas kembali? sejak Adam dan Hawa bersatu, adakah elemen dunia masih yang sama? dan elemen syurga kekal tidak berganjak nikmatnya? dan neraka masih bara menunggu?

seperti cinta yang bergentayangan di atas jatuh ke bawah, saatnya nanti akan melayang ke atas. atau benci, dan sesal, dan kesedihan, dan sengsara. dari atas jatuh ke bawah, naik ke atas dan ke bawah lagi. berapa lama kitaran rasa mengelitis jiwa? atau manusia jadi pelupa diterjah bersalah?

aku harap malam ini, bila dia berdoa, hijab tuhan tertutup. sungguh, dia tidak akan mahu jadi bacul dan hidup dalam soal-soal kalau.

dia menangis di kolam mata, aku berderai di lubuk hati. kata lelaki itu. ada kebasahan di sejadah tuhan.

kerana kau manusia, dan dia bidadari. balas tok kebayan.

tokkebayan. 2359 28april2010

Monday, April 26, 2010

buku dongeng kanak - kanak yang setiap kaum ibu mahu bacakan kepada si anak setiap kali malam menjelma

petang ada awan. tebalnya berselerak kelabu kelam hampir sahaja membentuk tona hitam. di hujung sana ada matahari; silaunya asyik, seolah langit masih belum puas bersetubuh dengan cerah. iya  gelap ada bintang yang menunggu, ada bulan yang membulat - persetan. langit lebih gemarkan cerah.

hari ini dia menghukum diri sendiri; menahan rasa rindu yang maha gila menyiat - nyiat urat waras. 

semalam sesudah petang yang ada awan tebal dan langit yang belum puas dengan cerah; dia hiris hati bidadari. hiris dan kemudian cincang lumat lalu tanam sedalam - dalam tanah; dengan kata-kata. bidadari menangis. dia pernah berjanji, air dari mata bujur bidadari haram untuk gugur. dalam apa cara dan kerana apa sekalipun, apatah lagi disebabkan oleh dia - haram.

hari ini dia menghukum diri sendiri; menahan rasa mahu bercakap dengan bidadari kerana khuatir butir ungkapannya menjadi racun. dalam kehidupan yang lalu, dia langsung lupa yang dirinya pernah dilahirkan sebagai demon. 

barangkali dia; sanggup menjadi bisu diam seribu bahasa asal tidak melukai makhluk yang paling dicintainya itu dengan ungkap kata dari lidah dan mulutnya. pesan ugamawan, tuhan makbul doa manusia yang bangkit malam dan menadah ke langit. dalam diam tanpa bunyi; malam ini dia menyimpan angan untuk bangkit dan menadah ke langit agar esok pagi dia bisu - tekad.  

penghukuman diri; waktu 1945, 26April2010. 


Monday, April 5, 2010

Monolog Pu(isi)ssy: Sesumpah Cinta


aku datang bawa satu rahsia yang sebenarnya bukan lagi rahsia

apa yang kau mengarut?

bahawa tiada cinta dalam manusia, cinta cuma ejaan alternatif untuk nafsu

tipu!

jangan menjerit! dengar orang tua bercakap. apa kau tahu rasa garam?

Masin!

aku kata jangan menjerit! Masin? Garam rasanya payau!

Payau?

Ya. Bukan itu yang mahu dibuktikan. Aku mahu buktikan cinta tidak wujud!

Buktikan!

Bila kau ingat padanya, yang terbayang dalam fikiran ialah montok dadanya, lekuk lehernya, lenggok pinggulnya, bukan?

Tidak!...errr Iya! Tetapi aku juga sayang!

Sayang?! Kau sayang tubuhnya. Kenapa dia, bukan perempuan lain, kalau benar sayang?

Kerana aku tidak sayang perempuan lain...

Esok Megan Fox akan ketuk pintu rumah kau..

Benar? Aku memang kacak, sudah pasti dia terpikat! Oh Megan Fox.... (ada bunyi ngerang di sini)

Lihat! Kau tidak cintakan perempuan itu! Cuma nafsu membuak!

Tidak!!! Sayang aku padanya infiniti! Cinta itu infiniti!

Cinta itu infiniti? Cinta itu ada hadnya! Nafsu yang infiniti!

Heh...orang tua penuh lara! Orang tua tidak laku!

Heh....aku tidak jual jiwa kepada syaitan cinta!

Syaitan? Bukan! Dia bidadari!

Apa kau pernah lihat sayapnya?!

Tidak...eh dia punya sayap? aku ingat dia manusia!

Kau buta! Matamu sudah gerhana! ( tiru judul gerhana mata*)

Aku sanggup mati kerana cinta! Lebih baik disayangi daripada bersendiri!

Keanak-anakan! Kau tahu apa yang terjadi kepada pencinta agung?!

Siapa pencinta agung? Tiada cinta agung selain cinta aku!

Huh..bagus kalau begitu! Sertai Romeo, Casanova, dan Majnun dalam neraka. Malah ikut jejak Tuah yang bacul!

Tuah? Dia cuma cintakan sultan! Bodoh!

Oh! Silap contoh..tapi pokoknya cinta tidak wujud, yang ada cuma nafsu!

Nafsu dan cinta sama-sama wujud! Apa kau mati pucuk? Mahu bercinta tanpa berahi!

Berahi aku jual pada pelacur! Cinta tidak berhak kepada mana-mana wanita!

Maka, biar kau sahaja bersendiri. Aku mahu dicintai dan mencintai!

Seposen pun tidak berguna! Kau pasti kecewa!

Biar aku rasai sendiri! kecewa, gembira cuma perkataan! yang benar ialah aku dan dia!

Kau mahu percaya itu? Sejauh mana?!

Infiniti!

Selamat bercinta teman! Pergi jauh-jauh. Aku mahu layan porn! Eh silap, mahu solat taubat!

*Gerhana Mata karya Djenar Maesa Ayu (Kompas, Mei 2007)