Friday, January 29, 2010

Agama : Versi Ikutan, Bukan Diskusi

Sebelah stokinnya dibiarkan melurut ke bawah. Dan sebelah lagi masih mencengkam betis kanak - kanak perempuan itu. Botol air berwarna biru yang di silang di bahu melantun - lantun mengikut gerak kakinya. Tocang di kepala sedikit senget. Sekali pandang, irasnya seakan kanak - kanak Tionghua.

Lilith tunduk. Melepasi tiang elektrik di bahu jalan, dia dongak ke langit. **Senyum. Kemudian tunduk kembali sambil berjalan. Ada lagi 100 meter mahu sampai ke pintu pagar rumahnya.

Sampai selekoh yang betul-betul di hadapan rumah, ada sepohon pokok rendang yang besar. Di belakang ada padang yang luas. Lilith duduk di bangku batu, bawah pokok.

Seketika, dia menangis. Semakin kuat. Semakin nyaring.


"tipu!"
"tipu!"


Diulang - ulangnya perkataan itu, mungkin beratus kali, di situ.

Tadi di sekolah, ketika sesi mata pelajaran agama, ustazah bercerita tentang tuhan. Kata ustazah "Tuhan itu Pencipta, tidak dicipta dan Dia, satu". Ditambah lagi "Tiada apa yang menyerupai sifat Tuhan..".

Lilith dan rakan - rakannya diam mendengar. Khusyuk, ditambah suara ustazah yang lunak keibuan. Mereka hanyut, dibuai cerita dan bacaan ustazah tentang beberapa fragmen teks kitab.

....Tidak ada sesuatupun yang serupa (zatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha mendengar dan melihat. -asy syura : 11-

Lalu sahaja Lilith menyampuk dengan ghairah. "Jadi cifat 99 yang uctazah cerita minggu lalu itu ada yang tipu ek". Soal Lilith dalam pelat. Lilith sambung "yang dalam 99 itu ada cifat yang ada pada manucia". Lilith sambung lagi, kali ini semakin ghairah " Kita ada mata dan kita melihat, jadi Tuhan tidak melihat kan? al-bachir melihat kan? Dia tidak cerupa manucia kan?"

Ustazah hempap buku teks ke atas meja. Sampukan Lilith betul - betul melangkaui batas kesabarannya sebagai guru. Dalam nada yang masih keibuan ustazah menjawab "murid - murid, berdosa mempersoalkan sifat-sifat Tuhan. Ingat tu ya (!) ".

Ustazah berjalan keluar selepas diucap terima kasih beramai - ramai oleh muridnya. Lilith ditinggalkan di situ terkebil - kebil. Bersama persoalan besar dalam kotak fikiran seorang manusia kecil. Tanpa penjelasan.

Dan loceng waktu pulang pun berbunyi.

4 comments: