Thursday, July 29, 2010

aku anjingmu, cinta

tidak punya harga dan gestur yang tidak menarik, jauh sekali untuk kelihatan terurus, aku jilat bekas - bekas telapak kakimu cinta, biar hilang kesan kerana katamu; mahu lari dari dunia, mahu lari dari alamiah hidup - kesulitan. kejadian seperti mu - bidadari - terlalu suci untuk bergelumang dengan hanyir bumi dan kotor langit. aku ini gelandangan, bisa berdiri di mana - mana sahaja, bawah jambatan dalam longkang tepi parit atas batu belakang bukit depan maut. 

datangi aku bila sepi menghantuimu. tatkala bulu yang jatuh ke lantai gegarnya pun bisa kau dengar, datangi aku. aku menyalak senyaring mampu seluruh pelusuk sampai berdesing  sampai gempita sampai mampus, sampai sepi tidak lagi berani menjelma. sepi bukanlah apa-apa.


dalam kesakitan menahan perit dan sedih hari - harimu, usah khuatir. usah khuatir dan kau lemparkan sahaja senyumanmu nescaya aku berlari - lari bagai sang gila mendapat tulang. ke arahmu dengan gelora rasa dan setinggi harap, mengubat perit dan sedihmu. biar hilang derita, padam luka dan parut pada badan tubuh hati mata dan kenanganmu. biar yang tinggal; indah - indah semuanya.

sewaktu sekeliling melempar keji dan umpat hina, kau tulikan telinga dan butakan mata. aku mamah dan telan semua kata dan suara. kau, kau diam - diam sahaja di belakang memeluk tubuhku sambil bayangkan desir angin dan kocak ombak; airnya menghempas pantai sesekali jari menguis - nguis pasir halus.    

dunia ini sempadannya kuasa. saat kau merasa tiada ruang untuk bersendiri dan tanah yang kita (anak-anak adam) kongsikan bersama ini seperti dirampas; seru namaku. seru namaku sehalus nada perempuanmu. akan ku kencing ke segenap penjuru menjadi kubu menandai wilayah mengikut kemahuanmu. kamu; berehat - rehat di situ menanti bulan bintang mengulit tidur. aku berjaga di luar garis.  

dan sewaktu kau mahu pergi; izinkan aku untuk terus berkeliaran menghidu bau tubuh yang kau tinggalkan, menjilat lendir badan yang tersisa.

..di jalanan.

4 comments: