Tuesday, November 16, 2010

bulan sabit kerongsang langit

Kata seorang kawan, malam selalu menganugerahkan kesunyian mendalam. Kau tidur dan terbangun awal, dan semuanya senyap sunyi. manusia tidak wujud dalam kesunyian malam; diri semuanya terperangkap dalam kedinginan dalam sendiri. Dan kau merenung jauh-jauh ke luar, memerhati; mungkin sejuta cahaya daripada seratus bangunan yang wujud di sekeliling; atau mungkin ke kawasan semak sebelah rumah yang gelapnya buat hantu boleh muncul mengejut; atau hanya mendengar bisik angin malam dan bunyi-bunyian malam; kau mungkin memandang ke langit melihat cahaya berkelip bergerak, atau cahaya statik yang berkelip, atau hanya langit kosong tanpa awan tanpa sinar bintang cakerawala.

Dan ke dapur, menuang air kosong dalam gelas dan meminum macam unta kehausan. Dan mengigit sekeping roti di mulut sekadar untuk buat mulut mengunyah. selepas itu kembali ke bilik, membuka laptop dan tengok senarai kawan yang masih online di facebook. ketagihan tegar manusia sekarang, kau mahu update status tentang kekosongan. tetapi tiada perkataan yang boleh menerangkan perasaan kau, dan kau biarkan status itu kosong; sekosong diri kau.

kau duduk tidak berbuat apa-apa; mungkin di meja study atau atas katil atau hanya berbaring di lantai. termenung dan fikiran melayang; masa terbuang dan sedar-sedar kau tidak tahu apa yang sedang lakukan. diri kau masih berada dalam mimpi; yang bangkit cumalah jasad penuh nafsu dan angan-angan.

kau mengeluh keras, menarik nafas dalam-dalam dan mula menyelongkar himpunan movie yang ada dalam hard drive. menekan satu persatu dan satu pun tidak menarik perhatian. kau memegang buku cerita dan mula membaca; yang ada cumalah abjad-abjad kosong dalam kertas-kertas kuning putih, kau cuba membuat kerja; menyiapkan laporan mungkin atau belajar dan dalamnya kau masih terkenang kekosongan yang menghuni diri.

malam selalu kosong bagi diri kau tetapi kau tidak pernah tahu di mana silapnya. dan kau tahu pagi nanti, kau akan bergerak seperti biasa. dan diri kau masih tertinggal dalam mimpi.kau selalu mimpikan bulan sabit tersenyum di langit; dan beberapa kali kau sudah melihatnya. walau kau tertunggu-tunggu, bila berjumpa; kau tidak merasakan apa-apapun.

kau pelik, fikir kau. dan kau cuba mencari ketenangan di sejadah, berdoa dan berwirid dan bersolat dan membaca quran. dan kau tenang seketika.

atau kau mabuk malam-malam dan dalam cebisan-cebisan fikiran yang timbul tenggelam, kau jumpa tenang.

selepas itu, kau kembali seperti dulu.

dan kau terus berusaha, mahu masuk ke syurga supaya tenang menunggu di sana atau kau mahu kekal di neraka kerana harap sudah hilang.

apa-apa pun yang kau pilih; kau masih setia menunggu bulan sabit setiap bulan, dan setiap kali kau melihatnya, langit jadi hamparan indah kerongsang malam.

manusia berubah, kau tidak.

2 comments:

  1. salam...
    lama kamu menyepi lama kamu berdiam diri

    aku pernah merasa betapa kosongnya hidup meski pun di kelilingi oleh keramaian dan kebisingan.tapi aku masih mampu utk bertahan.sehinggalah aku benar2 merasa kosong dan sunyi tanpa sesiapa di sisi,aku menjadi beku dan dingin.

    ReplyDelete
  2. Funny, aku asyik ditemani bulan sabit pada malam berbintang :)

    ReplyDelete