Showing posts with label perempuan. Show all posts
Showing posts with label perempuan. Show all posts

Monday, May 31, 2010

catatan-catatan hilang akal; yang langsung tidak bersifat lucu dan revolusi; lelaki biasa yang mahu jadi luar biasa

Selain kopi, penyakit ketagihan yang perlukan rawatan segera ialah rokok (masturbasi bukan ketagihan, saya sudah pastikan). Saya merokok berbatang-batang sehari, meningkat kalau ditambah tekanan kerja dan aktiviti-aktiviti yang memerlukan fikiran sentiasa bergerak. Merbahaya, bawa penyakit, tidak sayang nyawa; berikan apa alasan sekalipun, kalau saya sendiri tidak mahu berubah, rokok masih menjadi alat terpantas memendekkan nyawa. Biarlah putus nyawa kerja tuhan, saya tidak mengubah apa-apa, cuma memberikan alasan kepada keputusan nyawa nanti. (simpan sahaja tazkirah anda tentang ajal dan menjaga nyawa).

Sewaktu kecil , saya menyampah dengan orang merokok. Mungkin waktu itu, ibu selalu benar menyapukan bedak putih ke muka dan seluruh badan sebelum menyarungkan baju-berbau-wangi yang baru dibasuh. Asap rokok buat saya mahu muntah, malah boleh pening kepala kalau diletakkan lama-lama dengan penghisap, (sudah sama taraf dengan penghisap dadah dan ganja sampai diletakkan istilah 'penghisap rokok').

Tetapi meningkat dewasa, rokok jadi cool. Jadi alat untuk buat kawan, untuk masuk satu kumpulan yang kepala mereka selalu gila-gila dan idea pelik-pelik. Jadi, sejarahnya begitulah. Bermula tidak suka menjadi suka. Banyak perkara dalam dunia begitu bukan?

Maka, rokok macam cinta dalam hidup saya barangkali. Di sedut puas-puas rasanya dan puntungnya dibuang begitu sahaja. Cuma, mungkin dalam cinta, saya ialah rokok dan gadis-gadis itu ialah penghisapnya.


Monday, May 24, 2010

catatan - catatan hilang akal yang cuba bersifat lucu dan bukan revolusi; lelaki tipikal yang kadangkala mengucap 'pergi jahanam sama ideologi'

saya minum kopi lebih daripada 20 cawan sehari. ada kalanya angka itu meningkat. dan kadaran ini sedikit berkurang  andai aktiviti harian saya banyak dipenuhi dengan berjalan dan ke serata tempat. tabiat yang tidak saya ingati bila ia bermula dan bagaimana.

sewaktu kecil dahulu, saya punya persepsi nakal terhadap mereka yang meminum kopi, terutamanya yang panas(dan pada waktu siang hari ketika matahari masih galak di atas kepala). saya gelak sinis; gelak cara budak - budak kecil, adakalanya sehingga tergolek dan menahan senak perut melihat bibir manusia yang menghirup kopi ketika haba bumi tidak begitu mesra alam. bukan kerana gerak laku si peminum; tetapi kerana tabiat meminum kopi itu sendiri.

saya tidak pasti kenapa pada ketika itu (zaman kecil saya), saya melihat tabiat meminum kopi panas di siang hari seolah tabiat yang pelik (bodoh). Semacam tabiat berjalan - jalan sambil berbogel dan menari - nari di depan khalayak. Sehingga ke tahap itu. dan ia melucukan.

dewasa. kertas - kertas nota dan contengan saya banyak dicorakkan dengan percik hitam, bertambah jelas kesannya andai meja berselerak dan cawan kopi ditindih di atasnya. berselerak ;mahu mencari pensil dan pen pun, perlu membelek - belek. bukan, pemandangan begitu bukanlah memberi makna kapasiti kerja yang bertimbum. jelas; saya pemalas dan tidak tersusun orangnya. andai kena pada hari yang sempurna, baju saya juga ditandai dengan kopi. bintik hitam.

kopi tidak pernah menahan mata saya dari tertutup. mengarutlah barang siapa yang mendakwa kopi memungkinkan manusia berjaga. pada saya ia lebih, kepada faktor mental. andai diteguk sebalang kafein sekalipun, mengantuk tidak akan pernah dapat dikalahkan oleh aroma mahupun jisim kafein. ia lebih menepati; memenuhi tuntutan ketagih.

menghirup kopi kastanya barangkali sama seperti pelengkap 'merokok selepas makan.' badan rasa padu dan urat sedikit  lega. hirup yang pertama tidak akan sempurna tanpa terus sahaja diikuti hirup yang kedua. mesti. mesti berturut hirup yang pertama dan kedua. tanpa putus meletakkan cawan di meja mahupun dilepas dari tangan. lecur air liur tidak usah diperkatakan; semacam perempuan mengandung yang berminggu mengidam mangga muda lalu melihat selonggok tersusun di gerai tepi jalan sewaktu bersandar pada tempat duduk penumpang di kala suami memandu.

dan apabila meminum kopi adalah satu tabiat normal yang menghiasi norma hidup manusia sama seperti aktiviti membasuh pinggan mangkuk, menjemur baju, menonton epl mahupun bermain congkak; maka saya kira ia tidaklah begitu konkrit dan rendah tahap munasabah-nya untuk dimasukkan sebagai isi dalam salah satu sistem pesanan ringkas; yang bunyinya seakan mahu dijadikan alasan untuk pasangan manusia berpisah. atau; kalau bukan untuk dijadikan alasan sekalipun; masih tidak mampu dilogikkan oleh akal lelaki saya untuk diselitkan dalam teks. barangkali kerana perkara - perkara beginilah; terus menjadikan perempuan sebagai kejadian yang perlu dijelajahi tanpa rasa jemu dan putus asa.

cinta hati, terima kasih.