Monday, May 31, 2010

catatan-catatan hilang akal; yang langsung tidak bersifat lucu dan revolusi; lelaki biasa yang mahu jadi luar biasa

Selain kopi, penyakit ketagihan yang perlukan rawatan segera ialah rokok (masturbasi bukan ketagihan, saya sudah pastikan). Saya merokok berbatang-batang sehari, meningkat kalau ditambah tekanan kerja dan aktiviti-aktiviti yang memerlukan fikiran sentiasa bergerak. Merbahaya, bawa penyakit, tidak sayang nyawa; berikan apa alasan sekalipun, kalau saya sendiri tidak mahu berubah, rokok masih menjadi alat terpantas memendekkan nyawa. Biarlah putus nyawa kerja tuhan, saya tidak mengubah apa-apa, cuma memberikan alasan kepada keputusan nyawa nanti. (simpan sahaja tazkirah anda tentang ajal dan menjaga nyawa).

Sewaktu kecil , saya menyampah dengan orang merokok. Mungkin waktu itu, ibu selalu benar menyapukan bedak putih ke muka dan seluruh badan sebelum menyarungkan baju-berbau-wangi yang baru dibasuh. Asap rokok buat saya mahu muntah, malah boleh pening kepala kalau diletakkan lama-lama dengan penghisap, (sudah sama taraf dengan penghisap dadah dan ganja sampai diletakkan istilah 'penghisap rokok').

Tetapi meningkat dewasa, rokok jadi cool. Jadi alat untuk buat kawan, untuk masuk satu kumpulan yang kepala mereka selalu gila-gila dan idea pelik-pelik. Jadi, sejarahnya begitulah. Bermula tidak suka menjadi suka. Banyak perkara dalam dunia begitu bukan?

Maka, rokok macam cinta dalam hidup saya barangkali. Di sedut puas-puas rasanya dan puntungnya dibuang begitu sahaja. Cuma, mungkin dalam cinta, saya ialah rokok dan gadis-gadis itu ialah penghisapnya.


No comments:

Post a Comment