Tuesday, November 16, 2010

bulan sabit kerongsang langit

Kata seorang kawan, malam selalu menganugerahkan kesunyian mendalam. Kau tidur dan terbangun awal, dan semuanya senyap sunyi. manusia tidak wujud dalam kesunyian malam; diri semuanya terperangkap dalam kedinginan dalam sendiri. Dan kau merenung jauh-jauh ke luar, memerhati; mungkin sejuta cahaya daripada seratus bangunan yang wujud di sekeliling; atau mungkin ke kawasan semak sebelah rumah yang gelapnya buat hantu boleh muncul mengejut; atau hanya mendengar bisik angin malam dan bunyi-bunyian malam; kau mungkin memandang ke langit melihat cahaya berkelip bergerak, atau cahaya statik yang berkelip, atau hanya langit kosong tanpa awan tanpa sinar bintang cakerawala.

Dan ke dapur, menuang air kosong dalam gelas dan meminum macam unta kehausan. Dan mengigit sekeping roti di mulut sekadar untuk buat mulut mengunyah. selepas itu kembali ke bilik, membuka laptop dan tengok senarai kawan yang masih online di facebook. ketagihan tegar manusia sekarang, kau mahu update status tentang kekosongan. tetapi tiada perkataan yang boleh menerangkan perasaan kau, dan kau biarkan status itu kosong; sekosong diri kau.

kau duduk tidak berbuat apa-apa; mungkin di meja study atau atas katil atau hanya berbaring di lantai. termenung dan fikiran melayang; masa terbuang dan sedar-sedar kau tidak tahu apa yang sedang lakukan. diri kau masih berada dalam mimpi; yang bangkit cumalah jasad penuh nafsu dan angan-angan.

kau mengeluh keras, menarik nafas dalam-dalam dan mula menyelongkar himpunan movie yang ada dalam hard drive. menekan satu persatu dan satu pun tidak menarik perhatian. kau memegang buku cerita dan mula membaca; yang ada cumalah abjad-abjad kosong dalam kertas-kertas kuning putih, kau cuba membuat kerja; menyiapkan laporan mungkin atau belajar dan dalamnya kau masih terkenang kekosongan yang menghuni diri.

malam selalu kosong bagi diri kau tetapi kau tidak pernah tahu di mana silapnya. dan kau tahu pagi nanti, kau akan bergerak seperti biasa. dan diri kau masih tertinggal dalam mimpi.kau selalu mimpikan bulan sabit tersenyum di langit; dan beberapa kali kau sudah melihatnya. walau kau tertunggu-tunggu, bila berjumpa; kau tidak merasakan apa-apapun.

kau pelik, fikir kau. dan kau cuba mencari ketenangan di sejadah, berdoa dan berwirid dan bersolat dan membaca quran. dan kau tenang seketika.

atau kau mabuk malam-malam dan dalam cebisan-cebisan fikiran yang timbul tenggelam, kau jumpa tenang.

selepas itu, kau kembali seperti dulu.

dan kau terus berusaha, mahu masuk ke syurga supaya tenang menunggu di sana atau kau mahu kekal di neraka kerana harap sudah hilang.

apa-apa pun yang kau pilih; kau masih setia menunggu bulan sabit setiap bulan, dan setiap kali kau melihatnya, langit jadi hamparan indah kerongsang malam.

manusia berubah, kau tidak.

Thursday, July 29, 2010

aku anjingmu, cinta

tidak punya harga dan gestur yang tidak menarik, jauh sekali untuk kelihatan terurus, aku jilat bekas - bekas telapak kakimu cinta, biar hilang kesan kerana katamu; mahu lari dari dunia, mahu lari dari alamiah hidup - kesulitan. kejadian seperti mu - bidadari - terlalu suci untuk bergelumang dengan hanyir bumi dan kotor langit. aku ini gelandangan, bisa berdiri di mana - mana sahaja, bawah jambatan dalam longkang tepi parit atas batu belakang bukit depan maut. 

datangi aku bila sepi menghantuimu. tatkala bulu yang jatuh ke lantai gegarnya pun bisa kau dengar, datangi aku. aku menyalak senyaring mampu seluruh pelusuk sampai berdesing  sampai gempita sampai mampus, sampai sepi tidak lagi berani menjelma. sepi bukanlah apa-apa.


dalam kesakitan menahan perit dan sedih hari - harimu, usah khuatir. usah khuatir dan kau lemparkan sahaja senyumanmu nescaya aku berlari - lari bagai sang gila mendapat tulang. ke arahmu dengan gelora rasa dan setinggi harap, mengubat perit dan sedihmu. biar hilang derita, padam luka dan parut pada badan tubuh hati mata dan kenanganmu. biar yang tinggal; indah - indah semuanya.

sewaktu sekeliling melempar keji dan umpat hina, kau tulikan telinga dan butakan mata. aku mamah dan telan semua kata dan suara. kau, kau diam - diam sahaja di belakang memeluk tubuhku sambil bayangkan desir angin dan kocak ombak; airnya menghempas pantai sesekali jari menguis - nguis pasir halus.    

dunia ini sempadannya kuasa. saat kau merasa tiada ruang untuk bersendiri dan tanah yang kita (anak-anak adam) kongsikan bersama ini seperti dirampas; seru namaku. seru namaku sehalus nada perempuanmu. akan ku kencing ke segenap penjuru menjadi kubu menandai wilayah mengikut kemahuanmu. kamu; berehat - rehat di situ menanti bulan bintang mengulit tidur. aku berjaga di luar garis.  

dan sewaktu kau mahu pergi; izinkan aku untuk terus berkeliaran menghidu bau tubuh yang kau tinggalkan, menjilat lendir badan yang tersisa.

..di jalanan.

Friday, June 18, 2010

aku mahu bersembunyi di jalanan

waktu-waktu aku melihat manusia lalu lalang merentasi jalan, aku mahu sembunyi diam-diam di balik mereka. di bawah kaki, di dalam kain, di belakang tubuh mereka. mungkin kau akan mencari, mungkin juga tidak.

aku mengangankan kau bertanya.

'Kemana menghilang?' dengan suara-suara gemersik halus dan kerlipan mata manja kau. aku akan tatap puas-puas wajah kau, sebelum membalas.

'tidak kemana-mana. ada sahaja di sini. cuma kau yang perlu mencari.' dan kau akan mengangguk kecil dan tertawa perlahan. Suara kau, suara kau bagai menyeru syurga jatuh ke bumi. Cuma aku tidak pernah lepas dalam kesesatan neraka.

kau menyiku aku lembut.

'jangan main-main begini. aku selalu mahu mati bila kau hilang' dan kau memandang aku sungguh-sungguh, dalam-dalam.

aku pandang langit dan melihat ada malaikat di atas sana. sayapnya mengerbang luas, bulu-bulu putihnya jatuh ke jalanan.

'aku juga mahu mati bila tiada kau. tapi biar sahaja.'

dan aku mahu kau tanya aku kenapa. kau bertanya.

'kenapa?'

saat itu aku dedahkan dalam diri aku tiada apa untuk ditawarkan lagi. kosong dan sesat dalam sepi sendiri. dari langit, aku lihat ada cahaya tumpah ke bawah, ke atas jalan-jalan yang manusia bertebaran. aku pandang kau sebelum masuk menempuh ke dalam ribuan susuk tubuh manusia.

kau memanggil aku keras, aku terus hanyut dalam arus manusia bergerak.

kasih, bolehkah kau benarkan aku terus bersembunyi di sini?

Thursday, June 10, 2010

Jargon


JARGON di KLAB.
hanya 100 keping
atau hubungi shafik