Saturday, January 29, 2011

Tuhan Tahu Kita Lemah

Pagi Sabtu.

Siti bangun tidur dengan air mata basah di muka. Mimpi malam semalam benar-benar menjeruk tidurnya. Masam dengan segala kenangan yang sedia upaya di tinggalkan. Dia bangkit, menarik nafas dalam-dalam, menarik tuala di penyidai dan menuju ke bilik air. Semuanya perlu dibersihkan, noda dan dosa yang menyelinap di dalam liang-liang dagingnya perlu dikeluarkan. Waktu air sejuk di cedok dari kolah bilik air, dia merasakan segenap kotor dosanya masih melekat di badan. Dia sental , gosok berulang kali- bercampur baur dengan esak tangis yang semakin lama semakin kuat. Tuhan, keluhnya. Kenapa?

Malam Sabtu.

Waktu Adli mengerang kuat malam semalam dan memuncak nafsunya dalam peluh jantan menitis kuat, ada bayangan-bayangan menerjah ke kepala. Dia termengah-mengah menahan nafas. Selesai semuanya, Adli tidur lena. Memeluk erat badan manusia yang dikerjakannya semalam. Lembut kulitnya dicium-cium dan aroma wangi menusuk hidung dan mengelorakan nafsunya sepanjang malam. Dia peluk erat kejap tidak mahu lepaskan segalanya. Tuhan, keluhnya. Mengapa?

Petang Sabtu.

Ada titis-titis hujan yang turun, lembut gerimisnya. Siti berlari-lari anak ke kereta, melindungi kepalanya dengan fail dan beg kulit. Masuk ke kereta, rokok dinyalakan dan dia menghembus ke luar, membiarkan asap bercampur baur dengan nyaman hujan. Ada orang yang melambai-lambai ke arahnya. Siti membalas balik.

'Encik Adli dah nak balik?' jerit yang bertanya. Perempuan bertudung putih, berbaju kurung merah jambu rona lembut.

'Ya, mahu jemput isteri. Dia nak beli barang' Balas Siti sambil tersenyum mesra.

'Jumpa Isnin nanti ya' Malas hendak memanjangkan perbualan, dia melambai tanda mahu pergi dan menghidupkan enjin kereta.

Tuhan, keluhnya dalam hati. Apa?

Tuesday, December 21, 2010

komrad, menulis cuma luahan hati yang mati

untuk jurukopi ( yang sudah tidak boleh/berhenti/mental block menulis)

aku ini orang yang dari kecil memang terpinggir, dan tulisan selalu buat aku merasakan berhak hidup. apa-apa sahaja tulisan- dari papan tanda kedai, komik-komik hongkong, buku cinta meleleh, naskah sastera berat- semuanya menenangkan aku. dan dalam menulis aku masih sendiri- sekurangnya yang hidup ialah huruf-huruf, karakter, kisah dan ayat.

mengesankan.

komrad, menulis cuma luahan hati yang mati. atau hati kau sudah hidup kembali sehingga menulis jadi satu beban? atau matinya hati sehingga semua huruf juga sudah dimakamkan?

aku masih mahu menulis, masih mahu hati aku mati.

penulis-penulis ialah kelompok loser yang berangan tulisannya bagus-bodoh-tidak bagus-pandai.

menulis sahaja apa yang kita suka, tiada beban, tiada jangkaan, tiada harapan.biar buku sahaja jadi alat komoditi kapatalist, bukan tulisan.

tulisan ialah milik peribadi yang masih kekal peribadi biar sudah berlegar di ruang awam.

Komrad! mahu kenal dengan nurse sorang boleh?

Yang Benar,

Abang Bulu Dada.

Tuesday, November 16, 2010

bulan sabit kerongsang langit

Kata seorang kawan, malam selalu menganugerahkan kesunyian mendalam. Kau tidur dan terbangun awal, dan semuanya senyap sunyi. manusia tidak wujud dalam kesunyian malam; diri semuanya terperangkap dalam kedinginan dalam sendiri. Dan kau merenung jauh-jauh ke luar, memerhati; mungkin sejuta cahaya daripada seratus bangunan yang wujud di sekeliling; atau mungkin ke kawasan semak sebelah rumah yang gelapnya buat hantu boleh muncul mengejut; atau hanya mendengar bisik angin malam dan bunyi-bunyian malam; kau mungkin memandang ke langit melihat cahaya berkelip bergerak, atau cahaya statik yang berkelip, atau hanya langit kosong tanpa awan tanpa sinar bintang cakerawala.

Dan ke dapur, menuang air kosong dalam gelas dan meminum macam unta kehausan. Dan mengigit sekeping roti di mulut sekadar untuk buat mulut mengunyah. selepas itu kembali ke bilik, membuka laptop dan tengok senarai kawan yang masih online di facebook. ketagihan tegar manusia sekarang, kau mahu update status tentang kekosongan. tetapi tiada perkataan yang boleh menerangkan perasaan kau, dan kau biarkan status itu kosong; sekosong diri kau.

kau duduk tidak berbuat apa-apa; mungkin di meja study atau atas katil atau hanya berbaring di lantai. termenung dan fikiran melayang; masa terbuang dan sedar-sedar kau tidak tahu apa yang sedang lakukan. diri kau masih berada dalam mimpi; yang bangkit cumalah jasad penuh nafsu dan angan-angan.

kau mengeluh keras, menarik nafas dalam-dalam dan mula menyelongkar himpunan movie yang ada dalam hard drive. menekan satu persatu dan satu pun tidak menarik perhatian. kau memegang buku cerita dan mula membaca; yang ada cumalah abjad-abjad kosong dalam kertas-kertas kuning putih, kau cuba membuat kerja; menyiapkan laporan mungkin atau belajar dan dalamnya kau masih terkenang kekosongan yang menghuni diri.

malam selalu kosong bagi diri kau tetapi kau tidak pernah tahu di mana silapnya. dan kau tahu pagi nanti, kau akan bergerak seperti biasa. dan diri kau masih tertinggal dalam mimpi.kau selalu mimpikan bulan sabit tersenyum di langit; dan beberapa kali kau sudah melihatnya. walau kau tertunggu-tunggu, bila berjumpa; kau tidak merasakan apa-apapun.

kau pelik, fikir kau. dan kau cuba mencari ketenangan di sejadah, berdoa dan berwirid dan bersolat dan membaca quran. dan kau tenang seketika.

atau kau mabuk malam-malam dan dalam cebisan-cebisan fikiran yang timbul tenggelam, kau jumpa tenang.

selepas itu, kau kembali seperti dulu.

dan kau terus berusaha, mahu masuk ke syurga supaya tenang menunggu di sana atau kau mahu kekal di neraka kerana harap sudah hilang.

apa-apa pun yang kau pilih; kau masih setia menunggu bulan sabit setiap bulan, dan setiap kali kau melihatnya, langit jadi hamparan indah kerongsang malam.

manusia berubah, kau tidak.

Thursday, July 29, 2010

aku anjingmu, cinta

tidak punya harga dan gestur yang tidak menarik, jauh sekali untuk kelihatan terurus, aku jilat bekas - bekas telapak kakimu cinta, biar hilang kesan kerana katamu; mahu lari dari dunia, mahu lari dari alamiah hidup - kesulitan. kejadian seperti mu - bidadari - terlalu suci untuk bergelumang dengan hanyir bumi dan kotor langit. aku ini gelandangan, bisa berdiri di mana - mana sahaja, bawah jambatan dalam longkang tepi parit atas batu belakang bukit depan maut. 

datangi aku bila sepi menghantuimu. tatkala bulu yang jatuh ke lantai gegarnya pun bisa kau dengar, datangi aku. aku menyalak senyaring mampu seluruh pelusuk sampai berdesing  sampai gempita sampai mampus, sampai sepi tidak lagi berani menjelma. sepi bukanlah apa-apa.


dalam kesakitan menahan perit dan sedih hari - harimu, usah khuatir. usah khuatir dan kau lemparkan sahaja senyumanmu nescaya aku berlari - lari bagai sang gila mendapat tulang. ke arahmu dengan gelora rasa dan setinggi harap, mengubat perit dan sedihmu. biar hilang derita, padam luka dan parut pada badan tubuh hati mata dan kenanganmu. biar yang tinggal; indah - indah semuanya.

sewaktu sekeliling melempar keji dan umpat hina, kau tulikan telinga dan butakan mata. aku mamah dan telan semua kata dan suara. kau, kau diam - diam sahaja di belakang memeluk tubuhku sambil bayangkan desir angin dan kocak ombak; airnya menghempas pantai sesekali jari menguis - nguis pasir halus.    

dunia ini sempadannya kuasa. saat kau merasa tiada ruang untuk bersendiri dan tanah yang kita (anak-anak adam) kongsikan bersama ini seperti dirampas; seru namaku. seru namaku sehalus nada perempuanmu. akan ku kencing ke segenap penjuru menjadi kubu menandai wilayah mengikut kemahuanmu. kamu; berehat - rehat di situ menanti bulan bintang mengulit tidur. aku berjaga di luar garis.  

dan sewaktu kau mahu pergi; izinkan aku untuk terus berkeliaran menghidu bau tubuh yang kau tinggalkan, menjilat lendir badan yang tersisa.

..di jalanan.