Tuesday, December 21, 2010
komrad, menulis cuma luahan hati yang mati
aku ini orang yang dari kecil memang terpinggir, dan tulisan selalu buat aku merasakan berhak hidup. apa-apa sahaja tulisan- dari papan tanda kedai, komik-komik hongkong, buku cinta meleleh, naskah sastera berat- semuanya menenangkan aku. dan dalam menulis aku masih sendiri- sekurangnya yang hidup ialah huruf-huruf, karakter, kisah dan ayat.
mengesankan.
komrad, menulis cuma luahan hati yang mati. atau hati kau sudah hidup kembali sehingga menulis jadi satu beban? atau matinya hati sehingga semua huruf juga sudah dimakamkan?
aku masih mahu menulis, masih mahu hati aku mati.
penulis-penulis ialah kelompok loser yang berangan tulisannya bagus-bodoh-tidak bagus-pandai.
menulis sahaja apa yang kita suka, tiada beban, tiada jangkaan, tiada harapan.biar buku sahaja jadi alat komoditi kapatalist, bukan tulisan.
tulisan ialah milik peribadi yang masih kekal peribadi biar sudah berlegar di ruang awam.
Komrad! mahu kenal dengan nurse sorang boleh?
Yang Benar,
Abang Bulu Dada.
Tuesday, November 16, 2010
bulan sabit kerongsang langit
Dan ke dapur, menuang air kosong dalam gelas dan meminum macam unta kehausan. Dan mengigit sekeping roti di mulut sekadar untuk buat mulut mengunyah. selepas itu kembali ke bilik, membuka laptop dan tengok senarai kawan yang masih online di facebook. ketagihan tegar manusia sekarang, kau mahu update status tentang kekosongan. tetapi tiada perkataan yang boleh menerangkan perasaan kau, dan kau biarkan status itu kosong; sekosong diri kau.
kau duduk tidak berbuat apa-apa; mungkin di meja study atau atas katil atau hanya berbaring di lantai. termenung dan fikiran melayang; masa terbuang dan sedar-sedar kau tidak tahu apa yang sedang lakukan. diri kau masih berada dalam mimpi; yang bangkit cumalah jasad penuh nafsu dan angan-angan.
kau mengeluh keras, menarik nafas dalam-dalam dan mula menyelongkar himpunan movie yang ada dalam hard drive. menekan satu persatu dan satu pun tidak menarik perhatian. kau memegang buku cerita dan mula membaca; yang ada cumalah abjad-abjad kosong dalam kertas-kertas kuning putih, kau cuba membuat kerja; menyiapkan laporan mungkin atau belajar dan dalamnya kau masih terkenang kekosongan yang menghuni diri.
malam selalu kosong bagi diri kau tetapi kau tidak pernah tahu di mana silapnya. dan kau tahu pagi nanti, kau akan bergerak seperti biasa. dan diri kau masih tertinggal dalam mimpi.kau selalu mimpikan bulan sabit tersenyum di langit; dan beberapa kali kau sudah melihatnya. walau kau tertunggu-tunggu, bila berjumpa; kau tidak merasakan apa-apapun.
kau pelik, fikir kau. dan kau cuba mencari ketenangan di sejadah, berdoa dan berwirid dan bersolat dan membaca quran. dan kau tenang seketika.
atau kau mabuk malam-malam dan dalam cebisan-cebisan fikiran yang timbul tenggelam, kau jumpa tenang.
selepas itu, kau kembali seperti dulu.
dan kau terus berusaha, mahu masuk ke syurga supaya tenang menunggu di sana atau kau mahu kekal di neraka kerana harap sudah hilang.
apa-apa pun yang kau pilih; kau masih setia menunggu bulan sabit setiap bulan, dan setiap kali kau melihatnya, langit jadi hamparan indah kerongsang malam.
manusia berubah, kau tidak.
Thursday, July 29, 2010
aku anjingmu, cinta
dalam kesakitan menahan perit dan sedih hari - harimu, usah khuatir. usah khuatir dan kau lemparkan sahaja senyumanmu nescaya aku berlari - lari bagai sang gila mendapat tulang. ke arahmu dengan gelora rasa dan setinggi harap, mengubat perit dan sedihmu. biar hilang derita, padam luka dan parut pada badan tubuh hati mata dan kenanganmu. biar yang tinggal; indah - indah semuanya.
sewaktu sekeliling melempar keji dan umpat hina, kau tulikan telinga dan butakan mata. aku mamah dan telan semua kata dan suara. kau, kau diam - diam sahaja di belakang memeluk tubuhku sambil bayangkan desir angin dan kocak ombak; airnya menghempas pantai sesekali jari menguis - nguis pasir halus.
dunia ini sempadannya kuasa. saat kau merasa tiada ruang untuk bersendiri dan tanah yang kita (anak-anak adam) kongsikan bersama ini seperti dirampas; seru namaku. seru namaku sehalus nada perempuanmu. akan ku kencing ke segenap penjuru menjadi kubu menandai wilayah mengikut kemahuanmu. kamu; berehat - rehat di situ menanti bulan bintang mengulit tidur. aku berjaga di luar garis.
Friday, June 18, 2010
aku mahu bersembunyi di jalanan
aku mengangankan kau bertanya.
'Kemana menghilang?' dengan suara-suara gemersik halus dan kerlipan mata manja kau. aku akan tatap puas-puas wajah kau, sebelum membalas.
'tidak kemana-mana. ada sahaja di sini. cuma kau yang perlu mencari.' dan kau akan mengangguk kecil dan tertawa perlahan. Suara kau, suara kau bagai menyeru syurga jatuh ke bumi. Cuma aku tidak pernah lepas dalam kesesatan neraka.
kau menyiku aku lembut.
'jangan main-main begini. aku selalu mahu mati bila kau hilang' dan kau memandang aku sungguh-sungguh, dalam-dalam.
aku pandang langit dan melihat ada malaikat di atas sana. sayapnya mengerbang luas, bulu-bulu putihnya jatuh ke jalanan.
'aku juga mahu mati bila tiada kau. tapi biar sahaja.'
dan aku mahu kau tanya aku kenapa. kau bertanya.
'kenapa?'
saat itu aku dedahkan dalam diri aku tiada apa untuk ditawarkan lagi. kosong dan sesat dalam sepi sendiri. dari langit, aku lihat ada cahaya tumpah ke bawah, ke atas jalan-jalan yang manusia bertebaran. aku pandang kau sebelum masuk menempuh ke dalam ribuan susuk tubuh manusia.
kau memanggil aku keras, aku terus hanyut dalam arus manusia bergerak.
kasih, bolehkah kau benarkan aku terus bersembunyi di sini?
Thursday, June 10, 2010
Monday, May 31, 2010
catatan-catatan hilang akal; yang langsung tidak bersifat lucu dan revolusi; lelaki biasa yang mahu jadi luar biasa
Tetapi meningkat dewasa, rokok jadi cool. Jadi alat untuk buat kawan, untuk masuk satu kumpulan yang kepala mereka selalu gila-gila dan idea pelik-pelik. Jadi, sejarahnya begitulah. Bermula tidak suka menjadi suka. Banyak perkara dalam dunia begitu bukan?
Maka, rokok macam cinta dalam hidup saya barangkali. Di sedut puas-puas rasanya dan puntungnya dibuang begitu sahaja. Cuma, mungkin dalam cinta, saya ialah rokok dan gadis-gadis itu ialah penghisapnya.
Monday, May 24, 2010
catatan - catatan hilang akal yang cuba bersifat lucu dan bukan revolusi; lelaki tipikal yang kadangkala mengucap 'pergi jahanam sama ideologi'
sewaktu kecil dahulu, saya punya persepsi nakal terhadap mereka yang meminum kopi, terutamanya yang panas(dan pada waktu siang hari ketika matahari masih galak di atas kepala). saya gelak sinis; gelak cara budak - budak kecil, adakalanya sehingga tergolek dan menahan senak perut melihat bibir manusia yang menghirup kopi ketika haba bumi tidak begitu mesra alam. bukan kerana gerak laku si peminum; tetapi kerana tabiat meminum kopi itu sendiri.
saya tidak pasti kenapa pada ketika itu (zaman kecil saya), saya melihat tabiat meminum kopi panas di siang hari seolah tabiat yang pelik (bodoh). Semacam tabiat berjalan - jalan sambil berbogel dan menari - nari di depan khalayak. Sehingga ke tahap itu. dan ia melucukan.
dewasa. kertas - kertas nota dan contengan saya banyak dicorakkan dengan percik hitam, bertambah jelas kesannya andai meja berselerak dan cawan kopi ditindih di atasnya. berselerak ;mahu mencari pensil dan pen pun, perlu membelek - belek. bukan, pemandangan begitu bukanlah memberi makna kapasiti kerja yang bertimbum. jelas; saya pemalas dan tidak tersusun orangnya. andai kena pada hari yang sempurna, baju saya juga ditandai dengan kopi. bintik hitam.
kopi tidak pernah menahan mata saya dari tertutup. mengarutlah barang siapa yang mendakwa kopi memungkinkan manusia berjaga. pada saya ia lebih, kepada faktor mental. andai diteguk sebalang kafein sekalipun, mengantuk tidak akan pernah dapat dikalahkan oleh aroma mahupun jisim kafein. ia lebih menepati; memenuhi tuntutan ketagih.
menghirup kopi kastanya barangkali sama seperti pelengkap 'merokok selepas makan.' badan rasa padu dan urat sedikit lega. hirup yang pertama tidak akan sempurna tanpa terus sahaja diikuti hirup yang kedua. mesti. mesti berturut hirup yang pertama dan kedua. tanpa putus meletakkan cawan di meja mahupun dilepas dari tangan. lecur air liur tidak usah diperkatakan; semacam perempuan mengandung yang berminggu mengidam mangga muda lalu melihat selonggok tersusun di gerai tepi jalan sewaktu bersandar pada tempat duduk penumpang di kala suami memandu.
dan apabila meminum kopi adalah satu tabiat normal yang menghiasi norma hidup manusia sama seperti aktiviti membasuh pinggan mangkuk, menjemur baju, menonton epl mahupun bermain congkak; maka saya kira ia tidaklah begitu konkrit dan rendah tahap munasabah-nya untuk dimasukkan sebagai isi dalam salah satu sistem pesanan ringkas; yang bunyinya seakan mahu dijadikan alasan untuk pasangan manusia berpisah. atau; kalau bukan untuk dijadikan alasan sekalipun; masih tidak mampu dilogikkan oleh akal lelaki saya untuk diselitkan dalam teks. barangkali kerana perkara - perkara beginilah; terus menjadikan perempuan sebagai kejadian yang perlu dijelajahi tanpa rasa jemu dan putus asa.
cinta hati, terima kasih.
Friday, May 21, 2010
Cerita lelaki yang dihukum
masih saya ingat. setahun lalu sewaktu dia menelefon awal pagi bertanya soal hati selepas dia; menyatakan isi hati. tika itu dalam fikiran saya ya, perempuan memang makhluk lembut yang dicipta tuhan dengan sifat berani. serak suara dan tenggelam timbul nafasnya membuatkan saya tenggelam dalam rasa. saya pedulikan getar hati yang bukan sejuk disebabkan dingin pagi, lalu memberikan kata jawab; ya. saya masih berselimut saat itu - sleeping bag biru yang dibeli sewaktu masih giat sebagai aktivis tegar alam sekitar yang tiap hujung minggu dipenuhi dengan menawan puncak - puncak gunung. matahari pagi dan unggun api yang dibasahi titis kabus memang benar-benar buat hati saya jadi mellow. umur sleeping bag yang diguna saya barangkali lebih kurang 3 atau 4 tahun sewaktu dia menelefon pagi itu. ada kesan terbakar api rokok di sisi sebelah kanan, dekat penutup kepala.
dan kemudian; anna pergi.
lalu saya ketepikan satu hal kemanusiaan yang ada pada diri dan hidup dengan hal - hal yang lain; memungkinkan saya kekal (masih) sebagai seorang manusia. takut kalau - kalau dihiraukan hal yang satu itu, barangkali kes anna berulang.
dan ya; kes anna berulang.
tuhan cipta dia; cinta hati hadir sebagai memenuhi tuntutan catatan pada daun sebatang pohon di luh mahfuz. orang katanya sebagai - takdir. dan dia masih bertanya ; 'saya tidak faham kenapa tuhan wujudkan pertemuan antara saya dan awak'. takdir-lah. saya jawabnya di dalam daging hati.
saya berikan (sekali lagi) kata jawab; ya, ketika dia (cinta hati) bertanya soal hati. tika itu dalam fikiran (sekali lagi) saya ya, perempuan memang makhluk lembut yang dicipta tuhan dengan sifat berani. tempoh ini; adalah tempoh yang tuhan berikan saya ruang untuk melihat sisi syurga dunia. meraikan keperempuanan yang ada pada perempuan bukanlah peluang yang selalu hadir dan kita bisa berasa asyik dengan rengek dan lenggok bahasanya. saya masih merindukan halus nadanya di hujung talian tatkala berhubung; walau jarang. seingat saya, saya berbogel di depannya. bercerita kisah - kisah yang tidak pernah saya kongsikan dengan manusia lain. dan saya melawan arus; kejaguhan lelaki semasa tempoh berkenal-kenalan yang mahu kelihatan sempurna pada mata si gadis; tidak pernah sama sekali saya praktiskan. saya dimakan dan dikunyah hingga lumat oleh realisme yang saya anuti, melenyapkan sama sekali bukti - bukti perasaan kasih dan sayang saya pada dia.
dan kemudian; cinta hati saya pergi.
Saturday, May 15, 2010
cerita lelaki yang kehilangan masa dalam kelipan mata
dia, lelaki yang kehilangan masa dalam tidur semalam.
kerana ketika usia mudanya, dia diminta belajar dan belajar dalam kotak-kotak ilmu tanpa keterbukaan. dia lupa bahawa universiti terhebat ialah landskap dan manusia sekeliling, bukan kotak-kotak bangunan atas bukit, dipagari oleh manusia bermisai-berbaju biru uniform yang pantang sekali jika dia mahu menikmati dunia luar. dia membesar dengan pengalaman orang lain yang disumbat menjadi madah suara yang dipetik-petik. kosong.
dia, lelaki yang selalu alpa bahawa cinta itu halangannya masa.
di waktu ketika dia mahu bercinta. ada seorang gadis yang menakluk hatinya. bermula gurauan dalam kelas, dia sungguh tidak menyangka semuanya akan memberikan impak terhebat dalam dirinya. bila dia meninggalkan gadis itu yang terduduk menangis di tepi tasik, yang dia minta cuma masa untuk kembali. tapi, cintanya kalah menentang masa. sesekali bila dia lalu tempat tumpahnya air mata, ada bayang gadis itu melambai-lambai. merentap jiwanya sungguh-sungguh. dan dia bercinta lagi, dan bercinta lagi. tapi gadis pertama itu sentiasa datang kembali,. dengan bayang bahagia bersama lelaki lain di seberang sana. dan ketika itu jugalah, dia memutuskan bahawa cinta sudah pergi bersama masa. yang dia keciciran sewaktu mengejar cita.
dia, lelaki yang selalu tertikam dengan masa
di waktu-waktu sendiri. ada kesunyian membanjiri dirinya. sehingga dia lumpuh mahu bangkit kembali.
Thursday, April 29, 2010
Kisah cinta yang kaum ayah ceritakan selepas kaum ibu berikan dongengan; keduanya melelapkan si anak bila malam menjelma
Dia, pencinta setia dalam kesat bahasa dan kasar gurauan. Takdirnya dia manusia. Bukan enjel bersayap putih atau ifrit bertanduk dua. manusia yang dicipta menjadi penghubung dualiti , yang dalamnya ada bilah-bilah sayap enjel yang terjatuh, dan tanduk ifrit yang baru menumbuh. kerana itu, manusia punya syurga dan neraka. dosa dan keampunan, pahala dan ganjaran. semuanya bertelingkah sesama sendiri dalam tubuh yang dia diami.
dongeng sekadar dongeng. Jalinkan dengan magis realiti dan absurd takdir, bak pil-pil yang kita telan dengan wiski. bodoh.
‘cinta’ bahasa universal manusia, yang kerangkanya dicipta oleh bahasa, entah purinya ke mana.
hujan malam yang menitis perlahan-lahan, dalam aspal enjin bergerak pantas, titisnya jatuh. kenapa tidak pernah bertanya, kenapa asalnya atas ke bawah? atau sebenar-benarnya pertanyaan yang wajar timbul ; berapa kali air berputar dari atas ke bawah dan ke atas kembali? sejak Adam dan Hawa bersatu, adakah elemen dunia masih yang sama? dan elemen syurga kekal tidak berganjak nikmatnya? dan neraka masih bara menunggu?
seperti cinta yang bergentayangan di atas jatuh ke bawah, saatnya nanti akan melayang ke atas. atau benci, dan sesal, dan kesedihan, dan sengsara. dari atas jatuh ke bawah, naik ke atas dan ke bawah lagi. berapa lama kitaran rasa mengelitis jiwa? atau manusia jadi pelupa diterjah bersalah?
aku harap malam ini, bila dia berdoa, hijab tuhan tertutup. sungguh, dia tidak akan mahu jadi bacul dan hidup dalam soal-soal kalau.
dia menangis di kolam mata, aku berderai di lubuk hati. kata lelaki itu. ada kebasahan di sejadah tuhan.
kerana kau manusia, dan dia bidadari. balas tok kebayan.
tokkebayan. 2359 28april2010
Monday, April 26, 2010
buku dongeng kanak - kanak yang setiap kaum ibu mahu bacakan kepada si anak setiap kali malam menjelma
Monday, April 5, 2010
Monolog Pu(isi)ssy: Sesumpah Cinta
aku datang bawa satu rahsia yang sebenarnya bukan lagi rahsia
apa yang kau mengarut?
bahawa tiada cinta dalam manusia, cinta cuma ejaan alternatif untuk nafsu
tipu!
jangan menjerit! dengar orang tua bercakap. apa kau tahu rasa garam?
Masin!
aku kata jangan menjerit! Masin? Garam rasanya payau!
Payau?
Ya. Bukan itu yang mahu dibuktikan. Aku mahu buktikan cinta tidak wujud!
Buktikan!
Bila kau ingat padanya, yang terbayang dalam fikiran ialah montok dadanya, lekuk lehernya, lenggok pinggulnya, bukan?
Tidak!...errr Iya! Tetapi aku juga sayang!
Sayang?! Kau sayang tubuhnya. Kenapa dia, bukan perempuan lain, kalau benar sayang?
Kerana aku tidak sayang perempuan lain...
Esok Megan Fox akan ketuk pintu rumah kau..
Benar? Aku memang kacak, sudah pasti dia terpikat! Oh Megan Fox.... (ada bunyi ngerang di sini)
Lihat! Kau tidak cintakan perempuan itu! Cuma nafsu membuak!
Tidak!!! Sayang aku padanya infiniti! Cinta itu infiniti!
Cinta itu infiniti? Cinta itu ada hadnya! Nafsu yang infiniti!
Heh...orang tua penuh lara! Orang tua tidak laku!
Heh....aku tidak jual jiwa kepada syaitan cinta!
Syaitan? Bukan! Dia bidadari!
Apa kau pernah lihat sayapnya?!
Tidak...eh dia punya sayap? aku ingat dia manusia!
Kau buta! Matamu sudah gerhana! ( tiru judul gerhana mata*)
Aku sanggup mati kerana cinta! Lebih baik disayangi daripada bersendiri!
Keanak-anakan! Kau tahu apa yang terjadi kepada pencinta agung?!
Siapa pencinta agung? Tiada cinta agung selain cinta aku!
Huh..bagus kalau begitu! Sertai Romeo, Casanova, dan Majnun dalam neraka. Malah ikut jejak Tuah yang bacul!
Tuah? Dia cuma cintakan sultan! Bodoh!
Oh! Silap contoh..tapi pokoknya cinta tidak wujud, yang ada cuma nafsu!
Nafsu dan cinta sama-sama wujud! Apa kau mati pucuk? Mahu bercinta tanpa berahi!
Berahi aku jual pada pelacur! Cinta tidak berhak kepada mana-mana wanita!
Maka, biar kau sahaja bersendiri. Aku mahu dicintai dan mencintai!
Seposen pun tidak berguna! Kau pasti kecewa!
Biar aku rasai sendiri! kecewa, gembira cuma perkataan! yang benar ialah aku dan dia!
Kau mahu percaya itu? Sejauh mana?!
Infiniti!
Selamat bercinta teman! Pergi jauh-jauh. Aku mahu layan porn! Eh silap, mahu solat taubat!
*Gerhana Mata karya Djenar Maesa Ayu (Kompas, Mei 2007)
Saturday, March 20, 2010
Pu(isi)ssy; 'Ya Barang Pasti Bukan' Versi Soal
(Beautiful Mind).
Saturday, March 13, 2010
Sistem & Kegagalan Untuk Menempatkan Diri. Ah.
Mimpi rupanya.
Mimpi rupanya (lagi).
Hakikatnya kau punya syarat lengkap, untuk masuk ke dalam sistem (yang padahal sekarang ini pun kau sedang hidup di dalamnya). Soalnya sekarang ialah bagaimana cara untuk menempatkan diri di dalam sistem. Ketepikan soal berontak, dan kau dijamin gembira. Dan kau juga punya nama baru - robot.
Thursday, March 4, 2010
Janji: Khianat Kertas Sundal
Wednesday, March 3, 2010
Enjel Untuk Kamu; Sempena Hari Kelahiran
enjel ini untuk kamu sempena hari lahir. datang dalam bentuk cinta hati perempuan. hadiah terindah.
aku boleh sahaja memberikan momen indah dalam perbualan lisan dan kata-kata. Upaya sahaja untuk menyerahkan makna dalam bahasa yang dikait kata-kata. Tetapi kamu, cinta hati, berikan lelaki yang aku anggap sebagai teman ini, momen terindah melampaui kata-kata dan bahasa. Kamu berikan dia rasa. Apa lagi yang lebih penting untuk manusia selain daripada punya rasa untuk manusia lain. Ya, kamu-cinta hati- berikan dia itu. terima kasih.
' dan manusia membalas, kami beriman kerana autoriti tuhan sentiasa kebenaran. kami percaya tiap wahyu dan kata tuhan sentiasa benar, walau kami-manusia serba lemah- juga bergelut memahami dan memikirkan setiap kebenaran dalam tiap abjad dan dengungan indah. bukankah tuhan mengajak manusia berfikir untuk setiap perkara? dan bila tiap kali kau bertanya kerana ilmu, tuhan memberikan nafas pencerahan dalam pengalaman dan persekitaran . lihat sekeliling, dan kau dapat cari sebalik kelam dan kabut diri'
----
kesakitan kau memecahkan cengkerang kefahaman,
seperti mana biji buah perlu dipecahkan dan hati perlu berteduh bawah matahari, begitu juga kau perlu memahami kesakitan,
dan letakkan jiwamu dalam pencarian magis hidup sehari-hari, kesakitan kau akan nampak sedikit dari kegembiraan,
dan kau mampu menerima musim hati mu seperti kau menerima berubahnya musim yang melalui sekelilingmu,
dan kau akan melihat ketenangan dalam musim dingin yang menyiksakan,
banyak kesakitan kita memilih sendiri,
-khalid gibran-
yang menjalankan tugas,
Bobby Ali * icon senyum disini*
Friday, February 26, 2010
Baca Mesenjer; Bukan Wakil Tuhan. Atau Dia Sebenarnya Enjel Yang Jatuh ke Bumi?
ada juga yang sebut begini 'hidup ini indah cukup sekadar ada serbuk - serbuk putih dan daun-daun kering' wow! rare sungguh awak. wow! wow! wow! (macam gampang)
Tuesday, February 16, 2010
Soal Iblis Gipsi Kepada Quepit: Seterusnya Bagaimana?
budak nakal quepit memanah sepotong hati
jadi cahaya dalam dada iblis
'separuh lagi?'
'bersama bidadari'
'aku iblis!'
'bidadari sedang menari di atas bara neraka. Jangan biarkan dia terbakar'
'cinta?'
'kalau itu yang kau mahukan'
'seterusnya bagaimana?'
dan quepit mengepakkan sayapnya, membawa bersama soal tanpa jawab.
saya memerhatikan dibalik tingkap, separuh hati hilang, bersama sang perempuan entah dimana. seterusnya bagaimana? soalan iblis gipsi bergema masuk ke telinga, diproses otak dan ditusuk jiwa.
Sunday, February 14, 2010
Iblis Gipsi Yang Bukan Dewa Cinta
'dan sucinya cinta sampai bisa tembus tembok kotor'
Monday, February 8, 2010
Kisah Dia: Dan Beluncas Komuter
'Bagaimana apa?'
'Bagaimana mahu memberitahu?'
'Kita tunggu yang lain. Sesak sangat yang ini'
Kelip lampu di papan tanda pemberitahuan tentang masa perjalanan komuter seolah tidak berguna. Sentiasa lambat dan tidak pernah tepat masanya.
'Beritahu tentang rasa, bukannya rasional' ujar saya ringkas.
'Maksudnya?'
'Kalau mahu ucapkan gudlak, ucapkan sahaja. Kalau hati kau yang memberitahu gudlak sewajarnya diucapkan dengan simbolism ideologi, tuliskan saja. Kalau gudlak itu ada dalam bait-bait puisi, berikan puisi. Semuanya bisa saja, asalkan biar hati bicara, bukan dari akal yang berfikir'
'Huh. Saya tak biasa bercinta' lelaki yang berdarah raja itu membuat muka jelek.
' Siapa yang biasa? Semuanya tidak pernah sama. Gadis pertama atau terakhir, semuanya tidak pernah sama, semuanya tidak biasa'. Saya mengigit bibir, nafsu merokok muncul kembali. Saya seluk poket dan keluarkan gula-gula, dan biarkan manis gula mengantikan pahit nikotin.
' Macam komuter, yang kita lepaskan tadi tak mungkin sama dengan yang akan tiba. Gerabaknya, usianya, pemandunya, malah penumpangnya'. Saya pandang sekeliling. Dia juga mengikut. Buku di tangan kanan di biarkan tidak dibaca. Bila berjumpa dengan orang yang kita mahu berbual, buku jadi entiti asing sementara. Cuma, jarang sekali ia berlaku. Dengan lelaki ini antara pengecualian.
'Kau lihat papan tanda tu'. Saya arahkan jari ke situ, dia melihat sama.
'Waktunya sama macam cinta. Kita rasa pada masa-masa yang ditetapkan, komuter akan tiba. Tapi mungkin lambat, dan mungkin awal dari yang dijadualkan. Cinta juga, kita tetapkan masa untuk tiba. Setelah tamat sekolah, setelah bekerja, setelah berjumpa orang yang kita mahu. Tapi selalunya tidak pernah seperti yang dirancang'. Saya menghembus nafas, memandang sekumpulan anak muda yang mengheret beg besar. Lelaki itu hanya menunduk bawah.
'Bila komuter sampai, ada ketikanya kita memilih untuk melepaskan. Sesak sangat, tidak mahu berebut dan macam-macam alasan. Mahu menunggu yang seterusnya. Tapi mungkin yang akan tiba juga sesak, atau terlambat, atau bila kita naik, rosak di tengah jalan, atau tergelincir landasan'
Komuter seterusnya tiba, kami masuk, berdiri di antara ruang duduk, memegang erat tiang di atas kepala untuk elak dari gelincir.
'Semuanya berkemungkinan. Instrument hidup penuh kebarangkalian. Cinta juga begitu. Masa, tempat dan pilihan tidak sesekali hapuskan rasa'
Saya terhenti setakat itu, kebanyakan perbualan selepasnya hanya lah berkisar tentang perkara-perkara yang punya banyak pilihan dan tidak menjerut rasa. Berbisik-bisik dan merendahkan suara, kami seolah pasangan gay yang sedang cuba menyembunyikan perhubungan. Sialan! Ada mata-mata manusia memandang curiga.
Sampai di Stesyen Padang Rawa, saya keluar. Jejakkan kaki di platform dan memandang gerabak yang semacam beluncas bergerak perlahan membawa lelaki itu ke destinasinya. Jauh bergerak menuju horizon untuk bertukar jadi kupu-kupu besi yang indah; lambat lagi, lambat lagi, saya mengomel sendiri.
Menuju ke kereta yang di parkir di situ, bahu saya dipegang lembut. Saya tarik nafas dalam.
Saya kenal sentuhan ini. Walau hanya mimpi dan dari jauh melihat kamu. Saya tahu bagaimana rasanya disentuh kamu. Berpaling, saya melihat kamu tidak berubah sejak kali pertama saya lihat.
Kamu senyum nipis, melalui cermin mata, ada rasa yang tembus ke dunia realiti. Baju kurung merah hati dan tudung hitam, pakaian yang kamu pakai kali pertama saya lihat kamu di perhentian bas depan rumah.
'Kemana menghilang?'
Thursday, February 4, 2010
Kisah Saya : Laici Gebu dan Pari - Pari Dalam Inbok
Terima kasih, saya rasa Aphrodite membantu saya ketika menulis rangkap ucapan untuk si gadis.
Ada tips?
Tuesday, February 2, 2010
Kisah Sambung Menyambung: Rokok, Kopi, Ereksi dan Cinta Untuk Kamu
Satu pagi, waktu subuh sudah sampai klimaks waktunya dengan matahari, saya bangun terpisat-pisat menahan debar mimpi. Tetapi mimpi saya bukan kisah yang saya ingin khabarkan, ini kisah bagaimana saya jatuh cinta dengan seorang wanita-bertudung-litup-muslimah pada pagi itu. Ini kisah cinta yang klise, yang penuh dengan metafora bulan bintang bunga, asyik dengan prosa jiwang klasik dan memualkan. Ini kisah saya, dan setiap orang berhak bercerita tentang kisahnya.
Baiklah, kembali kepada kisah saya. Siapa saya? Tidak perlulah tahu. Hanya saya ialah pencerita atau pengosip atau batu api, pilih saja gelaran untuk saya setelah selesai membaca naratif ini. Elok begini bukan? Hanya kenal saya sebagai saya, seperti saya mengenali kamu yang sedang membaca ini sebagai kamu. Tiada obligasi sosial, setelah kisah ini saya ceritakan, kita kembali kepada kehidupan masing-masing tanpa bebanan. Kerana yang penting ialah kisah bukan pencerita, pendapat saya.
Kamu, sudah bersedia mendengar kisah seorang saya?
Pagi itu, saya bangun daripada tidur dengan peluh basah belakang badan. Bukan mimpi bidadari, tetapi mimpi raksasa. Eriksi penuh mencanakkan kain pelikat yang dipakai masih belum surut, walaupun bermimpi raksasa, eriksi pagi tetap wujud. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya saya masih sihat sebagai lelaki. Oh, saya seorang lelaki, lupa hendak beritahu. Saya depangkan tangan dan lunjurkan kaki, bangkit mencapai rokok dan nyalakan. Sarapan pagi cukup sebatang rokok dan secangkir kopi. Selepas rokok dinyalakan, saya menuju ke dapur membancuh kopi. Dengan gelas di tangan, saya duduk di kerusi di balkoni rumah. Oh,lupa juga hendak beritahu, saya tinggal di kondominium yang ada balkoni, bukan rumah pangsa atau flat yang macam kotak mancis, tapi kondominium yang bentuknya macam menara berkembar. Saya hembus nafas yang diracuni asap rokok kuat-kuat, masih lagi memikirkan mimpi ngeri semalam, pada ketika itulah saya terlihat kamu, duduk di perhentian bas memakai baju kurung merah hati dan tudung hitam. Kulit kamu cerah, cermin mata tanpa bingkai terletak elok di wajah kamu. Hati saya berdebar kencang, dan saya tahu saya jatuh cinta pandang pertama.
Cinta pandang pertama? Saya tidak pasti sekarang, atau mungkin juga kerana waktu pagi di waktu saya mengalami ereksi, kebetulan saya ternampak kamu, maka saya fikir saya jatuh cinta. Mungkin juga kalau orang lain yang duduk di perhentian bas itu pada waktu dan pagi itu, saya mungkin tertarik pada orang tersebut. Cuma kebetulan, kamu yang duduk di situ, dan saya fikir saya jatuh cinta pada kamu. Kawan saya kata, jatuh cinta tidak perlukan alasan. Saya fikir itu tipu, kita perlukan alasan untuk jatuh. Macam tersepak batu kemudian jatuh di jalan, atau terlanggar bahu orang dan hampir terjatuh. Maka, alasan saya jatuh cinta pada kamu mungkin ialah raksasa, rokok, kopi, balkoni dan ereksi. Rentetan peristiwa dan benda yang menyebabkan saya duduk di balkoni saat kamu menunggu bas atau teksi. Kalau tidak kerana mimpi ngeri, saya akan bangun lewat dan terlepas melihat kamu di situ, atau mungkin kalau bukan kerana ereksi, saya lebih banyak memandang langit pagi dan memejam mata bukan meliar mata melihat perempuan yang mungkin berada di sekeliling. Semuanya kebetulan, atau perancangan teliti yang nampak seperti kebetulan. Takdir barangkali?
Maka, saya memandang kamu sungguh-sungguh. Kamu tidak nampak saya, kerana saya di tingkat empat, kamu pula di bawah perhentian bas. Saya lihat kamu gemuruh sedikit, kadang-kadang menguap sambil cepat-cepat menutup mulut dengan tangan. Bag tangan kamu letakkan di atas peha berserta fail tebal. Kamu asyik memandang ke kanan, menunggu bas yang tidak kunjung tiba. Sekarang saya pasti kamu sedang menunggu bas, kerana beberapa teksi yang lalu, kamu tidak tahan. Kamu seakan gelisah, telapak tangan kanan dan kiri, kamu tautkan menjadi kepal penumbuk. Kadang-kadang kamu memandang ke bawah, penat memandang arah kanan. Gerak geri kamu semuanya terancang, seolah kamu tahu sedang diperhatikan. Adegan ala-panopticon ini berterusan agak lama. Kemudian bas datang, dan kamu hilang ditelan perut bas buruk asap tebal. Dan saya masuk kembali ke bilik menyambung tidur, berpuas hati dengan perasaan cinta sendiri.
Saya bangun kembali jam 1 petang. Mengemaskan diri, kemudian berbaring di ruang tamu. Saya masih menganggur selepas berhenti kerja bulan lepas. Fakta ketiga yang kamu tahu mengenai saya. Saya rasa lapar, maka ke dapur merebus mee segera dan makan di depan telivision. Rumah sepi sekali, saya duduk seorang diri, lebih selesa begitu.
Kembali ke ruang tamu, saya meneliti rak buku yang sudah berdebu. Lama sungguh tidak membaca, saya capai Norwegian Wood dan mula membaca helai demi helai. Sudahnya saya terlena sekali lagi diatas kerusi panjang ruang tamu, bangkit menjelang maghrib dan sekali lagi menyalakan rokok dan membancuh kopi sebelum ke balkoni. Saya ternampak kamu turun daripada bas, sebelum melangkah laju menuju ke arah flat kotak sebelah jalan. Kebetulan sekali lagi? Cuma kali ini tanpa ereksi.
Begitulah setiap pagi dan petang saya melihat kamu menunggu dan turun daripada bas. Setiap kali itulah yang menemani saya cuma rokok dan kopi.
Satu hari, saya beranikan diri untuk turun ke perhentian bas dan menunggu kamu. Saya bangun awal pagi, memakai baju dan seluar paling bersih, bercukur jambang dan misai yang sudah berminggu tumbuh meliar. Saya menunggu kamu di situ berjam lamanya, tetapi kamu tidak muncul. Saya cuba lagi petang itu tetapi kamu tidak juga turun daripada bas. Berhari-hari saya menunggu kamu di perhentian bas.
Akhirnya saya ambil keputusan bahawa kamu tidak akan muncul lagi. Anggapan saya tepat, kerana pagi hari tiada lagi kamu yang berbaju kurung-bertudung litup bercermin mata, seolah ghaib daripada dunia.
Yang ada cuma kopi dan rokok menemani saya, dan ereksi, serta Norwegian Wood yang sudah saya khatamkan banyak kali.
Selesai sudah kisah saya. Klise sahaja, bukan ada apa-apa, nampak seperti tiada hala tuju, saya fikir kisah kita semua (saya dan kamu) memang begitu sifatnya, banyak tergantung daripada selesai. Atau mungkin juga penyelesaiannya tidak sama seperti harapan menyebabkan kita fikir hidup ini tiada arah tuju?
Sekarang giliran kamu untuk bercerita pula.
Kisah saya: