Friday, December 25, 2009

Jiwa ialah Pemburu Kesepian : Versi Pendosa


Jiwa adalah seorang lelaki pendosa. Setiap hari ada sahaja dosa yang melekat pada kitab kiri yang digalas. Setiap hembus nafas dan alir darah yang bergerak mudah sahaja menghasilkan sumber dosa kepada Jiwa. Dan dosa yang paling besar pernah Jiwa lakukan ialah melawan takdir Tuhan.

Takdir Tuhan mencipta perempuan kepada lelaki.

Jiwa selalu sahaja melawan struktur kosmos yang diterima pakai semua lelaki lain. Stereotaipnya lelaki lain ini percaya bahawa perempuan adalah ciptaan agung yang perlu dihargai. Perempuan adalah insan yang perlu dibenih dengan nilai kasih dan disubur dangan ungkap sayang. Perempuan adalah lembut dan halus perasaannya. Begitu fahaman lelaki lain terhadap perempuan. Namun dalam fahaman ortodok lelaki lain terhadap perempuan, tidak ada satupun perilaku realiti yang berlangsung adalah sejajar dengan fahaman mereka.

Perempuan tidak ubah seperti alat yang diguna atas nama cinta.

Jiwa mengesan realiti yang berlaku. Kenyataan yang sungguh menyakitkan. Lelaki lain itu semuanya jahanam. Mengaku hati terisi dengan cinta dan kasih terhadap perempuan, walhal melayan perempuan tidak lebih sekadar alat. Kadangkala sebagai pemuas. Semuanya dialas atas nama cinta. Dan perempuan itu sifatnya mudah - meleleh kepada keindahan kata cinta yang dibawa, naif.

Mulianya lelaki pendosa bernama Jiwa. Mulia?

Dek kerana Jiwa percaya, yang perempuan adalah ciptaan agung dan terlalu suci untuk digandingkan dengan sang lelaki, maka Jiwa percaya, perempuan perlu dijauhi dari lelaki. Terutama yang suka melakukan dosa - sepertinya.

Jiwa rela. Rela hidup berteman sepi. Jiwa mahu mengekalkan perempuan pada definisi fitrah yang mengangkat perempuan sebagai ciptaan agung, bukan untuk dipermain.

(epilog selepas dua hari)

Hadirnya manusia pendosa seperti Jiwa yang percaya betapa cinta itu suci, akan merosakkan takrifan perempuan sebagai ciptaan agung. Tiada apa yang lebih hina berbanding mengheret ciptaan Penghuni Langit ke lembah yang penuh dengan nikmat dosa. Jiwa percaya, punahnya perempuan adalah kerana lelaki. Pendirian yang menyongsang ini dicabar saat Jiwa dihantar dengan jelmaan perempuan sempurna. Saat di mana malam dan siang Jiwa tiada putus dari terlintas di setiap garis darah yang membentuk rohnya terhadap perempuan sempurna. Pedih. Namun Jiwa, adalah lelaki pendosa yang hidup untuk menyelamatkan perempuan dengan mengelak pujukan cinta.


No comments:

Post a Comment