Tuesday, December 22, 2009

Semua Sesat, Hanya Kami Benar : Percaturan Kompleks Rejim Kebenaran

Maka semuanya semakin bersuluh. Penjaga Pintu Kebenaran punya rahsia yang disorok dari penglihatan marhaen. Rahsia Kebenaran! Segala apa yang dihidang dan disuap adalah batil - ya, kebatilan yang dibalut dengan terma kebenaran. Semuanya percaturan. Dan ada sesetengah percaturan terlalu kompleks sehingga menimbulkan konflik.

Sewaktu masa dulu, sebelum tibanya Hari Penghakiman, sebelum tercalit digit Satu di dahi, TeeGandhi adalah marhaen yang konfius. Perlu diingat, rakyat di sebidang tanah semuanya naif - naif dan buta kayu. Tatkala Penjaga Pintu Kebenaran mengisytiharkan semua mereka yang berpayung di sebidang tanah adalah 1Bangsa, semua marhaen bersorak. Tatkala Penjaga Pintu Kebenaran menyebut 1Empayar, semua marhaen berteriak gembira. TeeGandhi yang punya kelebihan berfikir yang lebih sedikit berbanding marhaen yang lain seraya berkata "..Andai begitu konsep dan pembawaan kita di sebidang tanah, maka kita semua sama, ekual, hapuskan keistimewaan yang mewujudkan batas perbezaan..andai mahu diangkat sebagai yang istimewa, maka semua perlu diangkat"

Sejurus tersebut ungkapan daripada TeeGandhi, penjilat - penjilat Penjaga Pintu Kebenaran yang menjunjung kronisme dan hidup atas nama pejuang submarhaen bangkit dan meratib "..Mana mungkin begitu! kami dulu yang jumpa tanah ini, maka kami tuan, masih perlu hormat kami! " TeeGandhi bertambah konfius. Yang diajar kepadanya andai disebut perkataan Satu (1), maka satulah - bersatu. Apa perlunya lagi dibeza - bezakan. TeeGandhi konfius. Marhaen yang lain yang sememangnya naif - naif dan buta kayu lagilah konfius, namun masih mengangguk tanda setuju.

No comments:

Post a Comment