Showing posts with label Hilang. Show all posts
Showing posts with label Hilang. Show all posts

Wednesday, March 9, 2011

Hilang Dia; II

semalam; adalah tempoh yang melupakan kita tentang hari - hari yang sudah berlalu. saat kau duduk diam - diam memandang tepat ke mata aku, ada bual yang berlaku tanpa getar nada. bumi berputar seadanya. cuma kita tidak lagi seintim dulu; masing - masing berada di daerah yang lain. dan semalam adalah perkiraan untuk jangka yang tidak tepat. barangkali lebih lama. 


aku lihat seorang tua di pasar. dalam keramaian umat manusia yang bersilih ganti, tidak ada yang pernah sama, jauh sekali untuk serupa. ditangannya loceng tembaga. sehingga minit yang ke-12 berdiri setentang, tetap gagal mencari riak pada raut. heartless? tidak seorang dua yang menunggu dentuman kali terakhir; duit sudah di tangan. aku raba - raba kocek seluar. keluarkan dua keping kertas hijau. pada waktu yang sama kami memegang erat not - not berwarna, masing - masing mengerling ke tangan yang berbeza. kali ini bukan soal nilai, kata aku. sendiri.

dari jauh kedengaran ekspatriat yang masih meraikan harinya. bersama seorang perempuan. kekasih yang baru pulang, kata orang asing di tepi separa berbisik. hanya semata itu, cuba bersoal. sendiri.

loceng diangkat tinggi. semua mata mengejang. pesan orang asing di sebelah yang lain -- dia akan memilih siapa yang dikehendakinya. aku berdiri pada gestur yang sama. tidak berganjak walau seinci. kali ini pasti. tiba giliran yang ditunggu, liur hanyir memercik ke muka sebaik habis kata diaju. aku hulurkan sepuluh ringgit --saya mahu beli, untuk hidupkan tuhan yang sudah lama mati dalam diri. 

dan yang lain terpaku kalah. menunggu sesi jual beli nyawa yang seterusnya. 



Friday, March 4, 2011

Hilang Dia

Ada waktu-waktu subuh, aku bangun tanpa rasa apa-apa. Memaksa diri bangkit dari tidur, menguap dan meregangkan badan beberapa kali, masuk bilik air dan berwuduk. Di atas tikar sejadah, ada tenang sayup-sayup masuk dalam jiwa. Subuh hari ialah hari paling senyap, dan sepanjang hari ialah hari paling sunyi.

Usai solat, mula mengorek-ngorek makanan di dapur. Telur hancur, atau hotdog atau hanya semangkuk koko krunch untuk memulakan hari. Makan di meja menghadap laptop, membaca berita hari itu dan mengodek blog-blog bacaan selalu. Semuanya rutin pagi yang dilakukan tanpa jemu.

Siang harinya akan berlangsung tanpa banyak yang berlaku. Rutin kehidupan yang memaknakan hidup.

Malamnya, untuk mengisi masa-masa terluang. Kalau tidak menonton tv, akan berbaring membaca atau hanya bergolek-golek atas katil tanpa berfikir apa-apa. Sepi dan sunyi ialah mukim setempat yang penghuninya ialah aku dan kau.

Di tengah malamnya saat manusia lain tidur, aku akan menunggu kau muncul di tingkap. Bersayap putih, berambut panjang, bermuka pucat. Aku akan menegur dan kau akan selalu diam. Bertenggek di atas pokok tepi tingkap tanpa apa-apa kata. Kadang aku bercakap dengan kau, melihat bulan emas di dada langit. Kadang kau mengangguk perlahan, kadang kau tidak bergerak mati kaku. Bila hujan turun, titis air mula menerpa masuk ke dalam bilik. Aku biarkan semuanya. Mari masuk ke dalam, ajakku. Kau diam tidak membalas, membiarkan semuanya basah dalam lebat hujan di luar. Dan aku akan menongkat dagu di tepi tingkap, melihat kau dalam hujan menggila. Jiwa sendiri basah dengan semuanya.

Sudah beberapa hari kau tidak muncul. Aku menunggu tiap malam. Kadang lena di atas meja, membiarkan lampu bilik bernyala terang sampai ke subuh. Ke mana hilang kau? Kenapa sudah tidak bertamu?

Bukan aku rindukan teman, aku sayangkan kehadiran.