Friday, March 4, 2011

Hilang Dia

Ada waktu-waktu subuh, aku bangun tanpa rasa apa-apa. Memaksa diri bangkit dari tidur, menguap dan meregangkan badan beberapa kali, masuk bilik air dan berwuduk. Di atas tikar sejadah, ada tenang sayup-sayup masuk dalam jiwa. Subuh hari ialah hari paling senyap, dan sepanjang hari ialah hari paling sunyi.

Usai solat, mula mengorek-ngorek makanan di dapur. Telur hancur, atau hotdog atau hanya semangkuk koko krunch untuk memulakan hari. Makan di meja menghadap laptop, membaca berita hari itu dan mengodek blog-blog bacaan selalu. Semuanya rutin pagi yang dilakukan tanpa jemu.

Siang harinya akan berlangsung tanpa banyak yang berlaku. Rutin kehidupan yang memaknakan hidup.

Malamnya, untuk mengisi masa-masa terluang. Kalau tidak menonton tv, akan berbaring membaca atau hanya bergolek-golek atas katil tanpa berfikir apa-apa. Sepi dan sunyi ialah mukim setempat yang penghuninya ialah aku dan kau.

Di tengah malamnya saat manusia lain tidur, aku akan menunggu kau muncul di tingkap. Bersayap putih, berambut panjang, bermuka pucat. Aku akan menegur dan kau akan selalu diam. Bertenggek di atas pokok tepi tingkap tanpa apa-apa kata. Kadang aku bercakap dengan kau, melihat bulan emas di dada langit. Kadang kau mengangguk perlahan, kadang kau tidak bergerak mati kaku. Bila hujan turun, titis air mula menerpa masuk ke dalam bilik. Aku biarkan semuanya. Mari masuk ke dalam, ajakku. Kau diam tidak membalas, membiarkan semuanya basah dalam lebat hujan di luar. Dan aku akan menongkat dagu di tepi tingkap, melihat kau dalam hujan menggila. Jiwa sendiri basah dengan semuanya.

Sudah beberapa hari kau tidak muncul. Aku menunggu tiap malam. Kadang lena di atas meja, membiarkan lampu bilik bernyala terang sampai ke subuh. Ke mana hilang kau? Kenapa sudah tidak bertamu?

Bukan aku rindukan teman, aku sayangkan kehadiran.

4 comments:

  1. macam mengadap cermin.
    tapi ada la bezanya.

    ReplyDelete
  2. ya..kita bukan merindukan teman, selalunya, cuma sayangkan kehadiran..

    salam singgah... :)

    ReplyDelete