Wednesday, March 30, 2011

antara


maghrib tiba tanpa awan mendung. langit merah di hujung - hujung sana. aku lihat dia tegak di situ di hurung kelkatu. dari atas jatuh ke lantai jalan, membentuk bayang samar. malam ini tidak seperti biasa. atau cuma, aku tidak pernah merenung pada tika yang sebelum - sebelum ini.

saat angin dari timur mula meramahi daun-daun pokok yang lama pegun, aku lihat dia menderita menahan tangis. lepaskan sahaja, aku sebut perlahan sambil genggam palang besi. bersandar padanya bukan idea yang okay, hujan lebat baru sahaja reda meninggalkan titis - titis air yang membulat, tunggu masa renggang dan pecah. seekor anjing jalan menunduk dan hilang ditelan semak. 5 minit yang lalu seorang lelaki cina merayau memegang tali.

dia diam.

begitu banyak perkara yang terkumpul di hujung lidah. ada waktu - waktu yang aku rasa semua perkataan yang mahu diucap berebut mahu diluah seolah kiamat akan tiba dan jibril hanya beri izin untuk satu sahaja di kalangan yang banyak - banyak itu. ada masa, kosong. 

aku tidak mahu percaya yang bual antara kita sudah mati. seperti perginya hari - hari semalam yang mustahil hidup kembali meski digadai nyawa pada tuhan. aku lihat dia di situ setiap kali petang sudahpun lewat dan burung - burung dari kota memburu tempat bertenggek. aku tidak pernah pinta untuk dia hadir dalam waktu - waktu yang selain daripada sela masa yang digemarinya. apa lagi?

apakah kesetiaan yang sebegini tulus juga gagal mendapat tempat di jiwanya. aku tanya itu pada bapak. dan seperti biasa bapak rangkul aku ke ribaannya, memandang ke luar jendela. dia bukan perempuan yang kau cari. bapak bisik dan aku hilang ke dunia mimpi sebelum tiba ke perkataan kedua. moga esok bangkit dan kekal dengan kepercayaan yang masih sama.

dia adalah perempuan yang aku mahu percaya. 
malah dia juga bukanlah manusia yang memungkinkan kau gelarkannya sebagai perempuan. antara cebis ayat setiap kali bapak tuturkan, setiap kali itulah aku sudah tutup mata.

dan esok aku dicelikkan untuk menunggu matahari dighaibkan alam. duduk mendongak ke arah cahaya yang berada di atas tiang tegak. menyeru dengan kata --sayangku halusinasi.

1 comment: