Thursday, March 17, 2011

orgel

ketukan kali ke-3, aku buka pintu dan dia meluru masuk tanpa suara. apa senyuman itu sebagai ganti ucap selamat? soalan pertama mati dalam leher. peti sudah hilang suara. saat ini renungan mengganti bual. dari hujung rambut, dada, pinggang, betis dan telapak kaki. sebolehnya aku mahu masuk ke bawah kulit dia. merenung sahaja tidak cukup. rasa. dia cucuh rokok sambil menyandar. seperti dalam naskah malena, sewaktu dia menapak dari garis daun pintu sehingga ke bangku di tepi tingkap, aku menuruti di setiap bekas - bekas tapak kakinya.


lampu dapur berkelip. air yang jatuh dari kepala pili kedengaran jelas bergeser dengan udara. malam ini malaikat sesat, alamat di sini disorok tuhan. aku berseloroh meminta balas, dia sepi. ketika lirik tiba ke baris Cos you ain't ever gonna burn my heart ; aku keluarkan pisau lipat dari kocek seluar yang tergantung di dinding dan lekatkan ke dadanya. aku tekan dan tarik perlahan ke bawah. dalam lagi, katanya. aku letak pisau atas paha, cucuh rokok. kami hembus ke tingkap. rawak.

kenapa? aku tarik nafas dalam - dalam, hembus. menunggu kata jawab darinya (oh) padahal aku sudah tahu. perkataan kecewa yang tidak terungkap dijawab oleh imej kaca dalam matanya. besen sudah suku penuh. darah merah, dara muda. 

dari atas paha kembali ke dada. kali ini lebih kuat. separuh daripada pisau tenggelam. doa? --tidak perlu, ini bukan ritus. aku jawab pendek sambil hulurkan tangan ke bawah rusuk dan genggam fragmen daging yang tidak bercantum dengan daging - daging yang melekat pada tulang, pada tubuh. dia pejam mata. 

aku berjalan ke dapur. buka peti ais, dan letakkan sebahagian daripada dirinya di ruangan sejuk-beku. label sama yang ke-134 pada minggu ini -- patah hati.

jalan mula basah, aku lihat dia berpayung. pergi. dan ketukan seterusnya tiba.

2 comments: